SHAH ALAM : Datuk Abdul Malik Dasthigeer atau dikenali sebagai 'Datuk Malik' akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan siasatan berkaitan dakwaan rasuah, pecah amanah, penyeludupan barang-barang haram dan pengurangan cukai tidak sah.

Pengasas dan pengerusi Malik Group of Companies itu berkata, beliau telah memberikan pendedahan penuh mengenai perkara itu.

"Saya akan membantu memberikan maklumat diperlukan dalam siasatan kes tersebut dan akan terus memberikan semua maklumat yang diperlukan untuk membantu (menyelesaikan) kes itu.

“Terima kasih kepada mereka yang telah menyatakan sokongan kepada saya," katanya menerusi ucapan di Instagram peribadi miliknya pada Jumaat.

Abdul Malik turut mengharapkan yang terbaik agar keadilan dapat ditegakkan.

Abdul Malik dikenali kerana membawa artis dari India untuk mengadakan konsert Tamil di Malaysia.

Syarikatnya terdiri daripada Malik Streams Corporation Sdn Bhd, Malik Maju Sdn Bhd, Malik Streams Properties Sdn Bhd, Malik Streams Antenna Movies Sdn Bhd, dan Malik Streams Production & Distribution. - Sinar Harian