Manakan tidak, nasi daging jika kena cara membuatnya, mampu membangkit selera peminatnya.
Peniaga Halim Shaari, 68, yang lebih mesra dipanggil ‘Pak Teh’ berkata, istimewanya nasi daging kawah air tangannya kerana dimasak secara terbuka sebelum dijual terus kepada pelanggan yang tidak putus-putus berkunjung ke bazar itu.
Menurut Pak Teh, dia menyimpan resipi nasi daging ini dalam buku kecil dan selepas berhenti daripada berniaga buah, dia mencari buku itu semula dan cuba masak nasi daging kawah itu hingga menjadi.
“Setiap hari saya akan datang seawal jam 10 pagi untuk memasak dan menumis rempah ratus nasi daging tempatan, di dalam kawah.
“Uniknya nasi daging kawah ini ialah kita jaga kebersihannya iaitu sebanyak 20 kilogram masing-masing beras dan daging lembu tempatan dicuci dengan baik sebelum disejat dan dimasak dalam kawah hampir dua jam.
“Setiap kawah akan dimasukkan 200 ketul daging yang telah siap dipotong mengikut saiz untuk setiap bungkus nasi yang akan dijual.
“Saya tidak menyangka ilmu masak yang saya simpan dari arwah bapa saya kini menjadi menu wajib penggemar nasi daging,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Pak Teh, dibantu isterinya, Adidah Awang Tengah, 55, dan anak perempuannya, Nur Sabariah Halim, 31, sejak awal Ramadan hinggalah ke hari ini, bersyukur kerana sambutan terhadap nasi daging kawahnya itu cukup memberangsangkan dan tidak sampai dua jam ia habis dijual dengan hasil jualan kira-kira RM2,000 sehari.
Katanya, nasi dagingnya turut dilengkapi air asam dan gulai daging yang dijual pada harga semurah RM10 bagi setiap set.