KUCHING: Orang ramai disaran supaya mendapatkan ilmu pelaburan menerusi saluran betul dan berlesan serta tidak terpedaya dengan platform pelaburan yang menjanjikan keuntungan tidak munasabah, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berharap rakyat akan lebih cakna dengan kes penipuan dalam aktiviti pelaburan terutama yang kerap berlaku menerusi media sosial.

"Selalunya media sosial ini banyak yang menunjukkan hal indah sahaja, yang ada kalanya menjanjikan pulangan 20 peratus pelaburan dan tiada interaksi fizikal antara kedua-dua pihak. Kalau pulangan itu melebihi daripada apa yang dijangkakan, maka ada sesuatu yang tidak betul.

"Oleh itu, orang ramai perlu menyemak dengan Bank Negara atau Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk mendapatkan tunjuk ajar supaya tidak terpedaya. Apabila silap labur, duit lebur dan ini akan menjurus kepada masalah yang lain juga," katanya ketika berucap pada majlis Bersama InvestSmart @ Sarawak di sini hari ini.

Abang Johari berkata program berkenaan yang berlangsung sehingga esok mampu memberi kesedaran kepada orang awam dan pelabur mengenai pelaburan secara bijak selain mendedahkan kepada pengunjung instrumen mata wang kripto yang sah serta berlesen di bawah Bank Negara dan SC.

Dalam pada itu, Pengerusi SC Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata aktiviti penipuan dalam talian di Malaysia telah meningkat dari 2020, iaitu hampir 72,000 kes penipuan dengan nilai kerugian RM5.2 bilion dicatatkan dari 2020 hingga Mei tahun ini.

Menurutnya 12,000 daripada keseluruhan kes itu melibatkan penipuan dalam pelaburan.

"Sepanjang Januari hingga Jun tahun ini, SC menerima 1,350 aduan dan pertanyaan berhubung aktiviti penipuan dan tidak berlesen dalam pelaburan.

"Penipu pada masa ini kebanyakannya menggunakan saluran media sosial seperti WhatsApp dan Facebook untuk menyasarkan mangsa mereka dan baru-baru ini, kita (SC) mendapati mereka menggunakan Telegram untuk menjalankan aktiviti haram itu," katanya.

Bertemakan 'Silap Labur Duit Lebur', program itu menampilkan 28 reruai seperti Bank Negara, Bursa Malaysia dan Pentadbir Pencen Swasta bertujuan berkongsi tunjuk ajar dan nasihat kewangan dalam pelaburan kepada pelabur serta pengunjung yang hadir.

-- BERNAMA