KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024 yang diluluskan Dewan Negara hari ini akan memastikan dalang yang terlibat dalam aktiviti penipuan dalam talian dikenakan tindakan di bawah peruntukan yang disediakan.


Ringkasan AI
  • RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024 memastikan dalang penipuan dalam talian dikenakan tindakan.
  • Pindaan Seksyen 424 dan 424(c)(b) melibatkan mereka yang terlibat secara tidak langsung dalam penipuan.
  • Pindaan RUU Tatacara Jenayah membolehkan PDRM menyita wang dalam akaun bank dan e-wallet untuk pemulangan wang kepada mangsa.


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata di bawah pindaan itu, Seksyen 424 dan Seksyen 424 (c) dan (b) akan terpakai kepada mana-mana pihak termasuk mereka yang secara tidak langsung terlibat kegiatan tersebut.

Beliau berkata biarpun tiada peruntukan khusus bagi pemulangan wang mangsa yang ditipu dalam kegiatan itu, namun kuasa sitaan wang yang turut dicadangkan dalam pindaan RUU Tatacara Jenayah akan membenarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghalang wang mangsa scammer daripada dikeluarkan atau digunakan.

"Ini akan memudahkan PDRM melakukan 'pengesanan wang' bagi mengenal pasti wang yang telah disalurkan oleh mangsa dan secara tidak langsung akan membuka ruang untuk pemulangan wang kepada mangsa penipuan dalam talian.

"Ini sekali gus memudahkan proses permohonan di bawah Seksyen 413 Kanun Tatacara Jenayah untuk tujuan pemulangan wang ini kepada mangsa," katanya ketika menggulung RUU tersebut di Dewan Negara hari ini.

RUU tersebut diluluskan dengan lebih suara majoriti selepas dibahaskan oleh 10 senator.

Bagi pindaan RUU Tatacara Jenayah (Pindaan) 2024 yang turut diluluskan pada persidangan sama, Kulasegaran berkata pindaan itu memberi kuasa sitaan akaun terbabit, hanya kepada anggota polis berpangkat tidak rendah daripada sarjan.

"Cadangan pindaan ini akan memberi kuasa sitaan kepada pihak polis menyita wang-wang disimpan dalam akaun bank.

"Sitaan ini bukan sahaja terpakai kepada wang disimpan dalam bank konvensional namun ia juga akan merangkumi simpan di dalam e-wallet," katanya ketika menggulung perbahasan RUU itu selepas lima Senator mengambil bahagian membahaskannya.

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA