TAHUN 2020 pastinya akan terpahat dalam kalender dunia sebagai tahun yang cukup mencabar dan getir.

Kehidupan kita bukan sahaja diancam COVID-19 malah beberapa bintang terkemuka juga hilang dari 'radar' dunia.

Menyusurinya, Astro AWANI ingin mengucapkan selamat tinggal kepada bintang-bintang 'bersinar' yang menjadi insiprasi atau 'mewarnai' perjalanan kita di dunia ini.


KOBE BRYANT (23 Ogos 1978 - 26 Januari 2020)

Legenda bola keranjang Amerika Syarikat itu terbunuh selepas helikopter peribadinya terhempas dan terbakar di California.

Empat individu lain termasuk anak perempuan Bryant berusia 13 tahun turut terbunuh dalam nahas tersebut.

BACA: Kobe Bryant maut dalam nahas helikopter

BACA: 'Mamba Forever' - Kobe Bryant ibarat adik - Michael Jordan

Juara NBA lima kali itu beraksi bersama Los Angeles Lakers selama 20 tahun dan bersara pada April 2016.

Pencapaian terbaik Bryant dalam arena bola keranjang apabila diangkat sebagai pemain NBA paling berharga pada 2008.

Bryant pernah merangkul Oscar untuk filem animasi pendek 'Dear Basketball' pada 2018.

ABAM  BOCEY  (19 Januari 1988 - 10 Februari 2020)

Nama sebenar, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan merupakan seorang pelawak, pelakon dan ahli kumpulan Bocey bersama Fad dan Achey.

Abam dan Siti Norhidayah berkahwin pada 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey, 5 bulan.

Pelakon yang terkenal dengan tagline Fat is Ohsem itu pernah membintangi beberapa filem popular seperti Isteri Untuk Dijual dan Suatu Malam Kubur Berasap 2.

BACA: "Kalau kita baik, semua orang sayang kita," - nasihat Allahyarham Abam Bocey

BACA: 'Rupanya video ni Abam tinggal buat kenangan' - Isteri Fad kongsi momen terakhir Bocey bersama Abam


ASHRAF SINCLAIR (18 September 1979 - 18 February 2020)

Menghembuskan nafas terakhir di sebuah pusat perubatan di Indonesia akibat serangan jantung.

Ashraf atau nama sebenarnya Ashraf Daniel Mohammed Sinclair dilahirkan di London pada 18 September 1979.

Abang kepada model jelita Aishah Sinclair itu mula dikenali ramai sejak membintangi filem Gol dan Gincu pada 2005.

Allahyarham Ashraf bernikah dengan pelakon dan penyanyi popular Indonesia, Bunga Citra Lestari pada 8 November 2008 di Masjid Al Bina Senayan, Jakarta.

Pasangan berkenaan dikurniakan seorang anak bernama, Noah Aidan Sinclair, berusia 10 tahun.

BACA: 'Ashraf Sinclair sihat, tidak hidap penyakit' - Pengurus Bunga Citra Lestari

BACA: Industri seni Malaysia, Indonesia terkesan pemergian Ashraf Sinclair



NAYA RIVEIRA (12 Januari 1987 - 8 Julai 2020)

Rivera  meninggal dunia pada usia 33 tahun selepas hilang ketika menaiki bot bersama anak lelakinya yang berusia empat tahun.

Mayat mendiang ditemukan dalam misi mencari dan menyelamat di Tasik Piru, California.

Penyiasat  memaklumkan, Rivera dihanyutkan pusaran air dan hanya anaknya dapat diselamatkan.

Keputusan bedah siasat mendapati punca kematian Riveira  adalah disebabkan lemas.

Rivera membintangi Glee, drama bersiri popular mengenai sekolah tinggi di Amerika Syarikat selama enam musim sebelum ia berakhir pada 2015.

Rivera dan bekas suaminya berpisah pada 2018.




CHADWICK BOSEMAN (29 November 1976 - 28 Ogos 2020)

Pelakon filem Black Panther itu meninggal dunia pada usia 43 tahun akibat kanser kolon di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Boseman disahkan menghidap kanser kolon sejak empat tahun lalu.

Ciapan terakhir yang mendedahkan mengenai penyakitnya itu di Twitternya menjadi perkongsian terbanyak bagi tahun ini.

Boseman dianggap sebagai ikon, inspirasi, dan seorang legenda dalam memperjuangkan nasib komuniti berkulit hitam.

BACA: 'Rest in power, King' - Pemergian Chadwick Boseman ditangisi rakan artis

Boseman yang memulakan karier lakonannya sekitar 2008, mula menyinar pada 2013 apabila beliau memainkan watak legenda besbol Jackie Robinson dalam filem berjudul "42".

Pada 2016, Boseman telah ditawarkan menjadi King T’Challa atau "Black Panther" dalam filem "Captain America: Civil War", kerjasama pertama beliau dengan Marvel.

Sepanjang kariernya, aktor itu berjaya merangkul beberapa merangkul beberapa anugerah bertaraf global seperti Persembahan Terbaik dalam Filem, serta Adiwira Terbaik oleh MTV Movie and TV Awards, dan Persembahan Terbaik oleh Screen Actors Guild Awards.

SANDRA DIANNE (16 September 1994 - 11 September 2020)

Penyanyi yang juga bintang Big Stage musim ketiga itu meninggal dunia di Hospital Putrajaya selepas bertarung nyawa selama enam hari.

Sandra, 26, koma dan dirawat di  unit rawatan rapi (ICU) selepas terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan untuk menjalani latihan penuh Big Stage di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Allahyarham Sandra popular dengan lagu Hey! Kau.




SEAN CONNERY (25 Ogos 1930 - 31 October 2020)

Pelakon popular Hollywood yang dikenali menerusi watak James Bond  meninggal dunia pada usia 90 tahun.

Kerjaya seni Sean mula mendapat perhatian masyarakat dunia selepas dia membawakan watak James Bond sehingga memenangi beberapa anugerah berprestij seperti Oscar, 2 Bafta Awards dan 3 Golden Globes.

Beliau juga pernah membintangi banyak filem besar seperti The Hunt for Red October, Indiana Jones and The Last Crusade serta The Rock.

Sean berkahwin sebanyak dua kali dan dikurniakan seorang anak yang juga pelakon Jason Connery.

Sean Connery telah diberi anugerah kesatria (knights) yang membawa gelaran ‘Sir’ oleh Ratu Elizabeth di Holyrood Palace pada tahun 2000.




DIEGO MARADONA (30 October 1960 - 25 November 2020)

Legenda bola sepak Argentina itu meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung di rumahnya di Buenos Aires.

Pada 4 November 2020 beliau selamat menjalani pembedahan membuang darah beku di bahagian otaknya.

Maradona dinamakan antara legenda sepanjang zaman berjaya membantu Argentina muncul juara Piala Dunia 1986 di Mexico.

Beliau juga bermain untuk kelab Barcelona dan Napoli semasa zaman kegemilangannya selain memenangi dua gelaran Serie A bersama pasukan di Itali.



SP BALASUBRAHMANYAM (4 Jun 1946 - 25 September 2020)

Mendiang merupakan penyanyi legenda yang kerap menjadi pilihan komposer pemenang Oscar, BAFTA, Grammy dan Golden Globe iaitu A.R. Rahman.

Balasubrahmanyam atau nama sebenarnya Sripathi Panditaradhyula Balasubrahmanyam dilahirkan di Nellore pada tahun 1946.

Mendiang bekerja di arus perdana berbahasa Hindi dan di seluruh panggung wayang serantau dan menyanyi dalam semua bahasa utama India termasuk Tamil, Kannada, Hindi, Inggeris dan Malayalam.

Beliau meninggalkan seorang isteri, Savitri dan dua orang anak iaitu Pallavi dan Charan

Mendiang pernah meminjamkan suara kepada kira-kira 40,000 buah lagu runut bunyi filem India.

Balasubrahmanyam juga pernah meminjamkan suaranya untuk menyanyikan runut bunyi filem lakonan Salman Khan antaranya Maine Pyar Kia dan Hum Aapke Hain Koun.

Antara lagu hit nyanyian mendiang ialah Dil Deewana, Mere Rang Mein Rangnewali, Didi Tera Dewar Deewana dan Pehla Pehla Pyar.


RISHI KAPOOR (4 September 1952 - 30 April 2020)

Setelah bertarung penyakit kanser selama dua tahun, pelakon Rishi Kapoor meninggal dunia di sebuah hospital di Mumbai pada usia 67 tahun.

Sebelum kembali ke India, mendiang menerima rawatan barah di Amerika Syarikat (AS) selama hampir setahun.

Anak kedua pasangan legenda Bollywood iaitu Raj Kapoor dan Krishna Raj Kapoor itu telah membintangi ratusan filem antaranya Bobby, Amar Akbar Anthony, Laila Majnu, Rafoo Chakkar, Sargam, Karz dan Bol Radha Bol.

Rishi Kapoor kali terakhir dilihat dalam siri di Netflix “The Body”.

BACA: Legenda filem Bollywood dan pelakon filem Bobby, Rishi Kapoor meninggal dunia

Pada tahun 1973, Rishi Kapoor mula meletup menerusi filem yang terus dikenang sepanjang zaman, Bobby bergandingan bersama Dimple Kapadia.

Filem terakhir yang dilakonkan Rishi iaitu filem “102 Not Out” bersama Amitabh Bachchan.

Hasil perkahwinan Rishi dan Neetu mereka mempunyai seorang anak lelaki Ranbir Kapoor.


SUSHANT SINGH RAJPUT (21 Januari 1986 –-14 Jun 2020)

Aktor muda dan berbakat Bollywood itu dilaporkan meninggal dunia  di kediamannya di Mumbai, pada usia 34 tahun.

Hantaran terakhir di Instagram milik mendiang memaparkan gambar dia bersama dengan ibunya, disertai kapsyen berbentuk sajak

Chhichhore merupakan filem terkahir Shushant di layar perak, disiarkan pada 2019.

Dia melakukan penampilan sulung di layar lebar dengan filem Kai Po Che pada 2012 dan terus membintangi filem-filem hit seperti PK dan Kedarnath.

Filemnya yang paling berjaya setakat ini dikatakan ialah MS Dhoni: The Untold Story.

BACA: Kematian Sushant Singh: Deepika Padukone dipanggil polis untuk rakam kenyataan



** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!