JOHOR BAHRU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain sudah dipanggil polis untuk dirakam percakapan pada Isnin berhubung satu dakwaan kes gangguan seksual.

Selain beliau, keterangan beberapa lagi individu termasuk wanita yang membuat laporan polis juga sudah dirakam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ADUN berkenaan turut membuat laporan polis terhadap dakwaan mangsa.

“Dalam kes ADUN yang melibatkan ADUN Sedili, siasatan masih dijalankan. Beberapa orang kita telah panggil untuk rakam percakapan. Dalam siasatan kita.

“Kita dapati kedua-dua pihak, pihak ADUN juga ada membuat laporan polis dan kita akan siasat secara adil. Siasatan ini kita perlu masa dua tiga hari lagi. Seepas ittu kita akan maklum keputusannya,” katanya.

[TERKINI] Gangguan Seksual | Polis telah rakam percakapan ADUN Sedili


Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan terhadap laporan polis dibuat seorang wanita yang mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang ADUN.

Menurut Kamarul Zaman lagi, siasatan kes terbabit dijangka dilengkapkan minggu ini.

Laporan polis wanita berusia 26 tahun yang dipercayai ahli sebuah parti politik dibuat di Balai Polis Kota Tinggi, pada Isnin.

Sebelum ini, Rasman menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang dilemparkan terhadap beliau dan mendakwa ia sebagai satu konspirasi politik untik menjatuhkan maruah beliau.