KOTA KINABALU: Seramai 10 individu termasuk pengurus bank yang ditahan kerana dipercayai terlibat dengan sindiket curi wang akaun simpanan tetap milik pelanggan dianggarkan bernilai RM24.7 juta didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Bagaimanapun, tiada pengakuan daripada kesemua tertuduh yang melibatkan tujuh lelaki dan tiga wanita selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Amir Syah Amir Hassan.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didapati menjadi ahli kumpulan jenayah terancang yang terlibat dalam kesalahan serius bagi faedah metarial kumpulan yang diketuai oleh Josepin J. Langkan dalam tempoh bermula 26 April 2024 hingga 1 Julai 2024. Josepin diwakili peguam Hairul V Othman.

Selain itu, turtuduh lain ialah Vireonis Jonok diwakili peguam Luke Ressa Balang; Leong Hin Ping, Sugumaran K. Ponniah dan Nasir Abdul Rashid yang diwakili peguam Dominic Chew.

Mazlani Jenuary, diwakili peguam Datuk Marzuki Spawi; Subramaniam Thangavelu diwakili peguam Datuk Ram Singh.

Iren Chin Nyuk Thien diwakili oleh dua peguam, iaitu Mohd Al Hafidz Mohd Lokman dan Mohd Luqman Syazwan Zabidi, manakala tertuduh terakhir Hasran Magin tidak diwakili peguam.

Kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta547) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara dalam tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun.

Hakim menetapkan 13 September 2024 untuk sebutan semula kes dan kesemua tertuduh ditahan sepanjang tempoh tersebut.

Selasa lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menahan 14 individu berusia 26 hingga 63 tahun di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ramli berkata, Timbalan Pendakwa Raya telah memberikan arahan untuk menuduh sembilan individu di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan manakala seorang lagi individu akan didakwa mengikut kesalahan berkaitan Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Pada 15 Jun lalu media melaporkan seorang kakitangan bank ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan wang dari akaun simpanan tetap melibatkan kerugian RM24.2 juta.

Ramli dilaporkan berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima empat laporan daripada pemilik akaun dan kakitangan bank awal Jun lalu di Petaling Jaya, Selangor apabila mangsa menyedari terdapat pengeluaran wang mencurigakan dilakukan secara tunai di Kota Kinabalu, membabitkan beberapa akaun simpanan tetap.

Katanya, seramai 14 individu ditahan termasuk empat pegawai bank dan ahli perniagaan bergelar Datuk di beberapa serbuan di Perlis dan Sabah.