Terkejut dengan kehadiran sebuah kereta peronda polis, empat lelaki gagal melarikan wang daripada mesin pengeluaran automatik (ATM) di sebuah pasar raya yang dipecahkan mereka di sini pada awal pagi Ahad.

Dalam kejadian sekitar 3.30 pagi itu, kumpulan lelaki bersenjatakan parang dan memakai topeng muka itu dipercayai mengepung dan mengugut tiga pengawal keselamatan yang sedang melakukan rondaan di hadapan pintu masuk pasar raya berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superitendan Ng Kong Soon berkata suspek kemudiannya mengikat tangan kesemua pengawal menggunakan tali serta wayar kabel dan mengurung mereka di dalam tandas lelaki.

"Siasatan awal mendapati terdapat dua tong gas jenis oxy acetelyne berwarna hitam dan coklat, mesin gerudi serta beberapa peralatan sepana di lokasi kejadian, dipercayai digunakan untuk kejadian pecah mesin ini.

"Namun, cubaan kesemua suspek menggunakan taktik gas oxy itu tidak berjaya melarikan wang di dalam mesin ATM dan dipercayai panik lalu melarikan diri sebaik sahaja ternampak kenderaan MPV yang melakukan rondaan mereka awal pagi," katanya kepada Astro AWANI.

Jelasnya, kesemua empat suspek kemudiannya melarikan diri menggunakan laluan cermin yang dipecahkan mereka di pintu masuk kedua ketika memasuki pasar raya berkenaan.

Ng berkata tiada saksi bagi insiden berkenaan dan pihaknya telah mengarahkan Unit Forensik IPK Perak dan Unit K9 untuk membantu siasatan lanjut.

"Kesemua pengawal keselamatan berjaya melepaskan diri dan mendapatkan bantuan daripada pekerja pasar raya yang datang bekerja sebelum membuat laporan di Balai Polis Kampar.

"Kesemua pengawal keselamatan itu mengalami kecederaan calar di pergelangan tangan akibat diikat dan telah mendapat rawatan di Hospital Kampar," ujarnya lagi.