Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang H'ng Mooi Lye berkata kejadian pada 12.05 tengah hari itu membabitkan kawasan seluas 3,500 meter persegi dan telah berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Beliau berkata pihak bomba dan penyelamat masih berada di lokasi bagi melakukan pemantauan.
"Tindakan pemadaman awal telah dijalankan oleh petugas Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) tetapi disebabkan keadaan angin kencang kebakaran tidak dapat dikawal.
"Sehubungan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah dihubungi pada 12.08 tengah hari dan tindakan awal yang dilaksanakan adalah dengan membuat kawalan secara 'water curtain' supaya kebakaran tidak terus merebak ke kawasan lain," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Menurut H'ng MBSP telah membantu membuat penyekat kebakaran atau 'fire-break' bagi mengepung kawasan yang terbakar dengan pemadaman seterusnya dilakukan menggunakan kaedah penggemburan sisa serta semburan air dan pada 5.23 petang api telah berjaya dikawal.
"Tindakan selanjutnya yang akan dilaksanakan adalah membuat penutupan kawasan terlibat menggunakan tanah merah. Punca kejadian dipercayai akibat cuaca panas berlarutan yang bereaksi dengan sampah yang dilupuskan di tapak tersebut," katanya.
Beliau berkata 117 anggota terdiri daripada bomba dan bomba sukarela sekitar Seberang Perai termasuk 42 petugas MBSP terlibat dalam operasi pemadaman tersebut.
Sementara itu, H'ng berkata MBSP akan mengambil langkah mengurangkan risiko kebakaran di tapak pelupusan tersebut pada masa akan datang dengan meningkatkan pemantauan di kawasan lereng dan membuat penutupan sampah di kawasan aktif mengikut piawaian yang ditetapkan.
MBSP juga katanya akan menambah lori tangki untuk bersiap sedia di tapak bagi memastikan tindakan awal dapat diambil dengan pantas sekiranya kejadian sama berulang.
-- BERNAMA