Cuaca buruk memaksa pesawat Malaysia Airlines MH2604 yang melakukan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu menukar arah ke Lapangan Terbang Miri hari ini, lapor The New Straits Times.

Malaysian Airport Holding Berhad (MAHB) yang telah mengesahkan perkara ini berkata tindakan tersebut merupakan sesuatu yang biasa dalam penerbangan.

Menurut MAHB lagi, cuaca yang buruk telah menyebabkan haluan penerbangan yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) pada jam 7:30 pagi tadi itu dilencongkan.

Penerbangan tersebut sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Kota Kinabalu pada jam 10:05 pagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee turut memuat naik status mengenai insiden berkenaan di laman twitternya.

Beliau bersetuju dengan tindakan yang diambil itu.