Penengah dan purata gaji pekerja sektor pertanian adalah yang paling rendah jika dibandingkan dengan sektor-sektor lain.
Kira-kira 56 peratus pekerja sektor pertanian juga berstatus tidak standard (non-standard). Pekerja berstatus tidak standard tidak bekerja sepenuh masa dan/atau tidak mempunyai kontrak pekerjaan formal, malah banyak yang bekerja sendiri.
Justeru, mereka lebih berdepan risiko dibuang kerja, diminta mengambil cuti tidak berbayar dan keputusan
pendapatan.
Dalam pada itu, lebih kurang 30 peratus pekerja sektor pertanian pula terdiri daripada warganegara asing.
Hampir 90 peratus pertubuhan pertanian tergolong dalam kategori perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Lebih kurang 40 peratus syarikat pertanian adalah syarikat mikro, iaitu syarikat yang meraih perolehan tahunan kurang daripada RM300,000 dan mempunyai kurang daripada lima pekerja.
PKS lebih mudah terjejas dengan impak krisis ekonomi dan ini mendedahkan pekerja-pekerja PKS kepada risiko dibuang kerja atau diminta mengambil cuti tanpa gaji.
Malah, PKS sendiri berdepan risiko gulung tikar.
Bagaimanakah sektor pertanian dilindungi setakat ini?
Kerajaan telah mengumumkan pelbagai jenis inisiatif khusus bagi sektor pertanian dan juga untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan rakyat amnya.
Kemudahan pinjaman yang disediakan menerusi Pinjaman Agromakanan dan Skim Kredit Mikro Bank Simpanan Nasional (BSN) boleh meredakan masalah aliran tunai bagi PKS pertanian.
Namun begitu, pinjaman yang dilakukan PKS semata-mata untuk menanggung kos operasi sementara waktu krisis agar tidak gulung tikar adalah langkah yang tidak mampan, lebih-lebih lagi apabila krisis sekarang ini dijangka berlarutan untuk tempoh yang lama.
Pinjaman tersebut tidak akan menambahkan pendapatan PKS dalam jangka masa panjang.
Sebaliknya, PKS perlu membayar ansuran pinjaman beserta kadar faedah untuk beberapa tahun.
Dalam pada itu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan penangguhan bayaran balik dan Tenaga Nasional Berhad memperkenalkan diskaun bil elektrik.
Kedua-dua langkah ini disambut baik bagi meringankan beban yang ditanggung PKS.
Kerajaan telah memperkenalkan Program Pengekalan Pekerja (ERP) bertujuan memberi bantuan kewangan sebanyak RM600 sebulan untuk enam bulan bagi pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji.
Bantuan ini adalah lanjutan kepada Skim Insurans Pekerjaan (SIP) yang pada asalnya dikhaskan untuk pekerja yang dibuang kerja. Inisiatif ini sangat baik, namun masih terdapat beberapa kekurangan.
Penyelidik Khazanah Research Institute (KRI), Christopher Choong menjelaskan beberapa isu.
Pertama, inisiatif ini tidak melindungi pekerja yang berdepan dengan bentuk-bentuk pengurangan kerja yang lain seperti pengurangan gaji atau jam bekerja.
Kedua, inisiatif ini tidak melindungi pekerja bukan standard dan mereka yang bekerja sendiri yang tidak menyumbang kepada SIP.
Ketiga, jumlah bayaran RM600 adalah di bawah kadar gaji minimum dan hanya merangkumi 26 peratus daripada purata gaji negara.
Kerajaan juga memperkenalkan program subsidi upah untuk membantu majikan mengekalkan pekerja.
Kerajaan akan memberi subsidi upah RM600 sebulan bagi setiap pekerja untuk tiga bulan bagi pekerja yang berpendapatan di bawah RM4,000 dan majikan yang mengalami penurunan pendapatan lebih 50 peratus sejak 1 Januari 2020.
Sebagai syarat, majikan mesti memastikan mereka tidak membuang pekerja, mengarahkan mereka mengambil cuti tanpa gaji bagi tempoh tiga bulan selepas program ini dilaksanakan, atau memotong gaji sedia ada pekerja.
Jika diambil purata gaji sektor pertanian iaitu RM1,865 sebulan, majikan masih perlu membayar lebihan gaji RM1,265 bagi seorang pekerja - iaitu 68 peratus daripada gaji asal.
Dengan keadaan syarikat yang telahpun mengalami penurunan pendapatan lebih 50 peratus subsidi RM600 dikhuatiri terlalu sedikit untuk memastikan polisi pengekalan pekerja ini betul-betul berkesan.
Menerusi Bantuan Prihatin Nasional (BPN), kerajaan melebarkan bantuan tunai kepada isi rumah M40 (40 peratus pertengahan).
Berbeza dengan bantuan Skim Insurans Pekerja (SIP), bantuan tunai ini sedikit sebanyak melindungi mereka yang bekerja sendiri atau pekerja tidak standard yang hilang mata pencarian.
Namun, kelemahan BPN ini ialah bagi mereka yang dibuang kerja atau keputusan pendapatan dan tidak dapat memanfaatkan SIP, wang yang diberikan BPN adalah terhad dan hanya untuk dua bulan sedangkan mereka berkemungkinan tidak dapat mencari pekerjaan baru dalam masa terdekat.
Kerajaan memperuntukkan Dana Jaminan Makanan berjumlah RM1 bilion. Dana ini bertujuan untuk menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada petani dan nelayan termasuklah bantuan input pertanian bagi meningkatkan pengeluaran domestik.
Tambahan sejumlah RM100 juta diperuntukkan untuk pembangunan infrastruktur penyimpanan dan pengagihan hasil tani dan juga program integrasi tanaman.
Peruntukan-peruntukan ini diperlukan bagi mengukuhkan sektor pertanian makanan, namun aspek implementasi perlu dititikberatkan bagi memastikan kecekapan dan keberkesanan.
Dana khas antara RM100,000 ke RM200,000 akan diberikan kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Pertubuhan Nelayan Kawasan (PNK) yang berdaya maju untuk menjalankan projek agromakanan jangka pendek bagi memastikan kecukupan bekalan makanan. Inisiatif ini bagus dan tujuannya jelas.
Namun, memperuntukkan dana untuk PPK dan PNK sahaja tidak mengambil peluang kebolehan petani dan nelayan yang tidak bernaung di bawah PPK atau PNK, yang mungkin lebih cekap dan produktif.
Beberapa pertimbangan
Bagi mengukuhkan sektor pertanian dan melindungi pekerja sektor ini sepanjang tempoh krisis, saya berpendapat tiga pendekatan umum perlu diambil.
Pertama, pastikan seluruh aktiviti pertanian bermula daripada penanaman sehinggalah penjualan kepada pengguna dapat berjalan secara normal dengan gangguan yang minimum, bukan sahaja pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi juga selepas berakhirnya PKP.
Kedua, langkah memastikan PKS pertanian dapat terus hidup dan pekerja-pekerja tidak diberhentikan atau disuruh mengambil cuti tanpa gaji mestilah diutamakan.
Ketiga, sekiranya pekerja terpaksa diberhentikan atau disuruh mengambil cuti tanpa gaji, perlindungan bagi mereka haruslah mencukupi.
Berikut adalah cadangan khusus yang wajar dipertimbangkan:
1. Pastikan seluruh aktiviti rantaian makanan berjalan lancar
PKP tidak seharusnya membantutkan aktiviti rantaian makanan. Meskipun aktiviti ini disenaraikan sebagai aktiviti keperluan yang dibenarkan beroperasi, terdapat kekangan yang menyebabkan aktiviti tersebut tidak berjalan secara normal.
Sebagai contoh, masalah logistik dan juga penutupan pasar pagi dan pasar tani.
Langkah proaktif MOA dan agensi-agensi berkaitan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) diperlukan bagi menyalurkan sokongan pemasaran kepada para petani dan nelayan, termasuklah mereka yang tidak berdaftar di bawah agensi-agensi berkaitan.
Kenal pasti petani dan nelayan yang tidak dapat menjual hasil disebabkan apa-apa sahaja sebab, sebagai contoh menerusi semakan maklumat petani daripada Pejabat Pertanian Daerah dan bantu mereka menjual hasil-hasil tersebut.
Jika perlu, lakukan kerjasama dengan syarikat swasta. Sebagai contoh, setelah media melaporkan tentang petani di Cameron Highlands yang terpaksa membuang hasil mereka kerana tiada pembelian, platform membeli-belah atas talian Lazada terus menguruskan perihal logistik dan teknologi bagi membolehkan hasil-hasil petani dijual di platform mereka.
Dengan prospek permintaan yang merudum (pada waktu PKP dan selepasnya disebabkan penjarakan sosial), kerajaan juga harus memikirkan langkah untuk memasarkan lebihan hasil ke pasaraya-pasaraya besar dan juga terus kepada pengguna menerusi khidmat atas talian.
2. Pinjaman tanpa faedah
Kerajaan wajar mempertimbangkan pinjaman tanpa faedah kepada petani, penternak, nelayan dan PKS sektor pertanian yang menghadapi kesempitan aliran tunai untuk terus beroperasi. Hal ini bagi mengelakkan bebanan faedah yang perlu ditanggung selepas krisis ini pulih.
Di Kanada, petani boleh meminjam $100,000 pertama tanpa faedah menerusi program yang dikenali sebagai Advance Payment Programs (APP).
Tambahan pinjaman seterusnya pula dikenakan faedah yang rendah. Sebagai respon kepada COVID-19, kerajaan Kanada membenarkan penambahan pinjaman $100,000 lagi tanpa faedah asalkan jumlah keseluruhan pinjaman sedia ada di bawah $1 juta.
Kerajaan Kanada juga memberi penangguhan bayaran balik selama enam bulan bagi pinjaman ini.
3. Pembayaran program subsidi upah ditambah
Bagi benar-benar mengelakkan pekerja daripada diberhentikan atau diminta cuti tanpa gaji, subsidi upah perlu ditambah. RM600 sebulan bagi setiap pekerja adalah rendah jika dibandingkan dengan purata gaji (keseluruhan dan bagi sektor pertanian) dan gaji minimum.
Australia sebagai contoh, memberi subsidi gaji sebanyak $1,500 bagi setiap dua minggu bagi pekerja di syarikat yang mengalami penurunan pendapatan sekurang-kurangnya 30 peratus (dan sekurang-kurangnya 50 peratus bagi syarikat besar dengan perolehan tahunan melebihi $1 bilion).
Subsidi ini melebihi gaji minimum di Australia iaitu $1,481 bagi setiap dua minggu.
Dengan ruang fiskal yang terhad, kerajaan mungkin boleh memberikan subsidi upah yang berbeza berdasarkan keterjejasan sektor terhadap krisis ini seperti mana pendekatan yang diambil Singapura.
Namun, langkah ini memerlukan rundingan dengan sektor-sektor yang mungkin akan mengambil masa.
Satu cara lain yang boleh dipertimbangkan ialah dengan melaksanakan skim berkadar mengikut skala gaji—sebagai contoh, subsidi RM1,000 bagi gaji di bawah RM2,000 sebulan, subsidi RM1,500 bagi gaji melebihi RM2,000 dan kurang daripada RM3,000 sebulan dan seterusnya.
Menerusi cara ini, jumlah mutlak subsidi meningkat mengikut tahap gaji, tetapi menurun dari segi peratusan.
4. Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) harus dilanjutkan kepada mereka yang bekerja sendiri
Kerajaan wajar mempertimbangkan untuk memberikan bantuan ERP kepada pencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerja Sendiri (SKSPS) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi memastikan mereka yang bekerja sendiri juga dapat dilindungi sekiranya mereka putus mata pencarian.
SKSPS meliputi 20 sektor tidak formal termasuk pertanian, penternakan dan perikanan.
Meskipun Bantuan Prihatin Nasional (BPN) disediakan bagi mereka yang berkelayakan termasuklah mereka yang bekerja sendiri, jumlahnya sedikit dan hanya diberikan untuk tempoh dua bulan.
Sebagai contoh, Pak Mat seorang petani kecil. Isterinya pula, Makcik Leha, menjual pisang goreng.
Pada waktu krisis, kedua-duanya hilang pendapatan.
Disebabkan pendapatan isi rumah mereka di bawah RM4,000, mereka layak menerima BPN sebanyak RM1,000 pada bulan pertama dan RM600 pada bulan kedua - jumlah diterima isi rumah ialah RM1,600.
Bagaimana sekiranya ERP dilanjutkan kepada mereka yang bekerja sendiri seperti Pak Mat dan Makcik Kiah?
Dengan kadar yang diumumkan kerajaan, kedua-dua mereka masing-masing menerima RM600 bagi enam bulan, RM1,200 sebulan bagi seisi rumah—jadi jumlah keseluruhan diterima isi rumah ialah RM7,200.
Selain itu, program ERP ini wajar mengambil kira bentuk-bentuk pengurangan pekerjaan yang lain seperti pengurangan jam ataupun gaji.
Mungkin pampasan yang diberikan bagi situasi seperti yang disebut tidaklah setinggi pampasan yang diberikan sekiranya diberhentikan kerja atau diminta mengambil cuti tanpa gaji.
Dalam pada itu, bayaran RM600 sebulan adalah rendah dan penambahan bayaran harus dikaji semula.
5. Gunakan dana khas sektor pertanian makanan dengan baik
Dana khas sektor pertanian makanan wajar juga disalurkan kepada petani yang tidak bernaung di bawah Pertubuhan Peladang Kawasan tetapi berdaya saing. Ini akan mengoptimumkan kebolehan para petani yang cekap untuk menambahkan bekalan makanan dalam negara.
Di samping itu, maklumat tentang penggunaan dana-dana ini haruslah telus disiarkan bagi makluman masyarakat umum. Hal ini bagi memastikan akauntabiliti dan mengelakkan ketirisan dana.
Kesimpulan
Terdapat beberapa ruang yang wajar kerajaan lihat bagi memastikan perlindungan yang diberikan kepada sektor pertanian dan pekerjanya lebih kukuh.
Dengan sumber fiskal yang terhad, langkah-langkah mendepani krisis ini haruslah lebih tersasar dan menyelesaikan masalah.
Misalannya, langkah memastikan seluruh aktiviti rantaian bekalan makanan berjalan lancar tidak melibatkan pemberian wang terus, sebaliknya memerlukan koordinasi dan gerak kerja yang efektif.
Malah langkah ini yang sebenarnya yang paling penting. Selagi pengeluar makanan dan PKS pertanian dapat bertani atau menangkap ikan dan menjual hasil mereka, mereka akan terus meraih pendapatan.
*Ashraf Shaharudin adalah penyelidik di Khazanah Research Institute (KRI). Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi KRI.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan Astro AWANI.