KUALA LUMPUR:Kerajaan Selangor mengadakan saringan bersasar secara percuma untuk rakyat Selangor yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah antara 20 hingga 26 September lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata inisiatif tersebut diambil kerajaan negeri bagi membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dan memudahkan pengesanan jangkitan COVID-19.

“Saringan tersebut boleh dilakukan di semua cawangan Selcare Clinic milik anak syarikat kerajaan negeri, Selgate Healthcare Sdn Bhd dengan pembuktian dokumen penerbangan pulang dari Sabah serta bukti pemastautin tetap di Selangor (bil air, bil elektrik dan sebagainya).

“Orang ramai diminta hadir ke klinik yang terdekat atau layari http://selcareclinic.com/our-clinics/ bermula Ahad ini, 4 Oktober,” kata Amirudin dalam satu kenyataan pada Jumaat.


Katanya lagi, kerajaan negeri juga akan mengadakan saringan khas di dewan orang ramai di daerah Kuala Selangor pada suatu tarikh dan lokasi yang akan dimuktamadkan kemudian.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata waktu operasi Bilik Gerakan COVID-19 di Bilik Gerakan MTES, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah akan dilanjutkan sehingga jam 7 malam berbanding waktu bekerja sebelum ini.

“Ini juga akan membolehkan kerajaan negeri membuat pemantauan serta meneliti perkembangan terkini COVID-19,” tambahnya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa terdapat dua kluster baharu telah dikenal pasti di Selangor pada Jumaat. 

Dua kluster tersebut ialah Kluster Seri Setia dan Kluster Seri Anggerik.