KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini melaporkan 214 kes pulih COVID-19.

Sebanyak 149 kes direkodkan di Hospital Sibu diikuti Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Hospital Kapit (34); Hospital Umum Sarawak (15); Hospital Miri (lapan); Hospital Sarikei (lima); Hospital Bintulu (dua) dan PKRC di Hospital Sri Aman (satu).

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih di negeri itu meningkat kepada 6,099 kes atau 73.51 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif di negeri itu.

Angka ini sekali gus mengatasi jumlah kes positif baharu yang dicatatkan iaitu 133 kes, menurut kenyataan JPBN Sarawak.

Kenyataan itu juga menyebut, dua lagi kematian akibat COVID-19 dilaporkan di Hospital Sibu.

“Kes kematian ke-75 merupakan kes 5,850 berusia 41 tahun dan dimasukkan ke hospital selepas mengalami simptom COVID-19.

“Dia disahkan positif pada 8 Februari sebelum kesihatannya terus merosot dan disahkan meninggal dunia pada 22 Februari 2021,” kata kenyataan itu.

Kes kematian ke-76 pula melibatkan kes 6,668 berusia 74 tahun merupakan perkaitan dengan Kluster Geronggang di Sibu dan meninggal dunia pada 23 Februari 2021.

Selain itu, satu lagi kluster baharu melibatkan Kluster Jalan Muhibbah di Betong dilaporkan selepas kes indeks 7,407 dikesan positif COVID-19 menerusi saringan individu bergejala pada 16 Februari lepas.

“Hasil saringan dan pengesanan kontak rapat kepada kes indeks, 17 kes positif COVID-19 baharu dikesan.

“Setakat ini 110 individu disaring dengan 18 kes disahkan positif, 45 negatif manakala 47 masih menunggu keputusan ujian makmal,” tambahnya.

Kluster komuniti ini dilaporkan berlaku di sebuah kediaman di Jalan Muhibbah, Betong selepas berlakunya perhimpunan sosial persendirian pada 10 Februari lalu.

Ketika ini, kesemua 18 kes positif telah dimasukkan ke Hospital Sarikei dan PKRC Sarikei bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut.