KUALA LUMPUR: Kerajaan merancang mewujudkan pusat ujian saringan komuniti COVID-19 jenis Rapid Test Kit Antigen (RTK-Ag) secara percuma termasuk secara pandu lalu untuk warga Wilayah Persekutuan dalam usaha memerangi pandemik itu.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata dua pusat ujian saringan secara pandu lalu sedang dirancang sebagai inisiatif tambahan kepada saringan komuniti secara percuma di kawasan perumahan awam (PA) dan projek perumahan rakyat (PPR) yang dijangka bermula 7 Jun ini.

"Kita sedang bekerja keras untuk memastikan mulai 7 Jun, kita memulakan pemberian ujian saringan RTK-Ag secara percuma untuk warga Wilayah Persekutuan.

"Selain PPR dan PA, dua pusat ujian secara drive thru (pandu lalu) sedang dirancang. Menjelang 15hb (Jun) kita akan tambah bilangan lokasi," katanya menerusi Twitter pada Ahad.

Selasa lepas, Annuar mengumumkan pelaksanaan saringan komuniti COVID-19 jenis RTK-Ag secara bersasar dan percuma dengan melibatkan kumpulan pertama 20,000 warga emas dan rentan bermula awal Jun di kawasan PA, PPR, kampung tradisional serta lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Wilayah Persekutuan dengan jadual saringan akan dimaklumkan kemudian.

Pelaksanaan itu merupakan antara tujuh Inisiatif Wilayah Cakna (IWC) 5.0 untuk kemudahan serta mengurangkan beban warga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang terkesan dengan pelaksanaan PKP 3.0 khususnya golongan B40 dan miskin bandar.

-- BERNAMA