"ADAKAH dia baik-baik saja, masih hidup? Ibu bapa kami sudah uzur, ramai orang bimbang akan dia, tolonglah, sekurang-kurangnya maklumkan kami sedikit berita mengenainya."
Itu antara mesej-mesej yang diterima oleh delegasi serantau Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), di Kuala Lumpur.
Ianya mesej cukup terdesak individu hanya dikenali sebagai Adam (bukan nama sebenar) yang dikirimkan kepada ICRC Kuala Lumpur.
Adam merupakan adik kepada seorang pencari suaka yang kini ditahan di sebuah Pusat Tahanan Imigresen di Malaysia.
Adam, kini tinggal di United Kingdom (UK) bersama ahli keluarga serta adik-beradik yang lain.
Bukan sahaja berat menanggung rindu, menambah keperitan keluarga ialah apabila mereka mendapat tahu bahawa orang kesayangan mereka itu dijadual menjalani satu pembedahan, hanya beberapa hari sebelum kerajaan Malaysia mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara untuk memutuskan rantaian wabak pandemik itu.
Serentak itu, senarionya, lawatan keluarga di semua tempat tahanan di seluruh negara turut ditangguhkan dalam tempoh PKP.
Benar, langkah dan sekatan itu bertujuan membendung wabak daripada terus menular dalam kalangan tahanan, tetapi, akibat langsungnya, tahanan tidak dapat bertemu dengan keluarga masing-masing, barangkali, untuk tempoh yang cukup lama.
Tahap kebimbangan Adam dan keluarga tidak susut, sebaliknya makin bertambah saban hari berikutan gagal bertemu atau mendapat khabar mengenai saudara mereka itu.
Apa yang merisaukan, kesihatannya akan bertambah buruk disebabkan tidak dapat menjalani pembedahan.
Dalam konteks di Malaysia, ICRC tidak terkecuali menyumbang kepada usaha respons COVID-19.
Antaranya, ICRC memberikan bantuan dalam bentuk sumbangan seperti pembersih tangan, alat pengimbas suhu, sabun dan pelitup muka, serta panduan teknikal dalam piawaian kebersihan sebagai langkah persediaan untuk tempat tahanan dalam masa pandemik.
Malah, ICRC juga membincangkan bantuan lebih lanjut mengenai aspek Pemulihan Pertalian Kekeluargaan (Restoring Family Links atau RFL), perkhidmatan yang disediakan oleh Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah.
RFL bermatlamat membantu mereka yang terputus hubungan dengan keluarga disebabkan konflik, bencana alam atau penghijrahan.
Pentingnya inisiatif ini adalah kerana ia membantu meringankan penderitaan kumpulan tahanan dan saudara-mara mereka semasa negara dilanda krisis wabak COVID-19, ketika mana banyak sempadan negara ditutup, sekali gus pergerakan orang ramai dihadkan.
Sebaik mesej Adam diterima ICRC pada 27 April lepas, ini antara tindakan atau respons digerakkan.
Pertama, pangkalan data diperiksa. Di sini, ICRC mendapati abang Adam didaftar sebagai individu mendapat manfaat (benefisiari) ICRC.
Seterusnya, ICRC menghubungi pusat tahanan tersebut dan berita baiknya, tidak sampai sejam, ICRC berjaya mendapat pengesahan bahawa abang Adam sememangnya ditahan di tempat tahanan tersebut, malah, berada dalam keadaan baik-baik sahaja.
Ternyata, Adam begitu gembira apabila ICRC mengesahkan abangnya itu baik-baik sahaja di lokasi tersebut.
Menyusuli khabar gembira itu, Adam berkongsi mesejnya: "Abang saya masih hidup, Hanya Tuhan sahaja boleh membalas bantuan diberikan. Saya akan segera ke Malaysia dan melawatnya, tetapi hanya selepas COVID-19 terkawal. Sudah dua tahun setengah kami tidak bersua muka, bertegur sapa.”
Serentak itu juga, keluarga Adam kini merancang untuk menghantar Mesej Palang Merah (Red Cross Message atau RCM) melalui Palang Merah Britain kepada saudara mereka yang ditahan dan berharap dapat mendengar khabar darinya secepat mungkin.
Kes Adam bukanlah satu-satunya permintaan terdesak untuk mendapatkan bantuan semasa dalam keadaan krisis akibat wabak penyakit.
Delegasi serantau ICRC Kuala Lumpur turut menerima satu permintaan lain -- lelaki warga Itali, di mana isterinya, seorang warga asing, ditahan di Malaysia sejak Januari.
Menurut suami wanita itu, batasan pergerakan di Malaysia bermakna kes isterinya terpaksa ditangguhkan.
Keadaan ini menjadikannya sangat terdesak untuk komunikasi, sekurang-kurangnya berhubung bagi mendapatkan perkhabaran tentang isterinya itu.
Selepas menerima permintaannya, ICRC menasihati lelaki berkenaan untuk menghubungi Palang Merah Itali dan menggunakan Mesej Palang Merah sebagai medium komunikasi dengan isterinya.
Walaupun Itali merupakan antara negara paling terjejas kerana COVID-19, maklum balas Palang Merah Itali sangat pantas dan wajar dipuji.
Mesej Palang Merah dari lelaki berkenaan dikirimkan kepada penjara tersebut dan ICRC menjangkakan tidak akan menunggu lama untuk menerima balasan.
Kes Adam dan lelaki warga Itali, hanya dua kes dijadikan contoh di sini. Namun, dua kes ini mencerminkan betapa pentingnya hubungan antara tahanan dengan ahli keluarga mereka ketika mana negara terjerumus dalam kancah krisis seperti COVID-19 ini.
Pada lapis lain, walaupun ketika era serba pantas digital di hujung jari, kebanyakan kita mudah menyambung silaturahim sesama sendiri, ia tidak begitu kepada golongan tahanan.
Ketika mana, kita begitu mudah berkomunikasi melalui aplikasi chat, media sosial dan panggilan telefon, ia amat payah lagi sukar buat sesetengah mereka yang dilucutkan kebebasan sebagaimana kumpulan di penjara dan pusat tahanan imigresen.
Namun, berita baiknya, beberapa tempat tahanan secara proaktif bertindak mengatur sistem panggilan video antara tahanan dan keluarga mereka demi memudahkan proses hubungan keluarga.
Dalam hal ini, ICRC mengalu-alukan usaha sebegini, malah, bersedia menawarkan perkhidmatan sebagai usaha tambahan untuk membantu pemulihan hubungan kekeluargaan membabitkan tahanan dan keluarga masing-masing khususnya dalam tempoh sukar ini.
Pemulihan Ikatan Kekeluargaan merupakan perkhidmatan kemanusiaan yang unik, dirintis semasa bermulanya Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah.
Sejarahnya bermula apabila seorang ahli perniagaan dari Geneva, Henry Dunant, menyaksikan kesan nestapa selepas pertempuran Solferino, Itali, pada tahun 1859 – di mana ribuan nyawa melayang, manakala berpuluh-puluh ribu lagi yang cedera pula ditinggal serta diabaikan.
Mujur ada bantuan penduduk kampung yang berdekatan. Dunant melakukan yang terbaik untuk merawat mereka yang cedera, menguruskan yang telah tiada.
Dalam batas kemampuannya, Dunant, membantu askar-askar tersebut tanpa mengira ideologi perjuangan mereka.
Semasa menguruskan mereka itulah, Dunant terkesan lalu mengambil amanat seorang askar muda yang nyawa-nyawa ikan, kepada ibu bapanya.
Askar itu _ Koperal Claudius Mazuet namanya, berusia sekitar 20 tahun, mendapat luka parah ditembak peluru, terkena di bahagian kiri badannya.
Dalam buku ditulisnya, bukunya ‘A Memory of Solferino’, Dunant membuat kesimpulan begini bagi menggambarkan keadaan askar berkenaan: "Sudah tiada harapan untuknya, dan dia memang menyedari keadaan dirinya sendiri".
Ketika Dunant membantunya minum, koperal muda itu mengucapkan terima kasih kepada Dunant sambil air mata deras berlinang meminta Dunant untuk menulis kepada ibu bapanya untuk menenangkan mereka.
Lalu, Dunant mencatatkan alamat ibu bapa Koperal Claudius Mazuet, sebelum askar itu kemudiannya tidak lagi bernyawa, mengucapkan selamat tinggal kepada dunia.
Sekembalinya ke Geneva, Dunant masih ingat dengan jelas pemuda yang mati dalam pelukannya itu. Dunant juga berjaya menjejaki ibu bapa pemuda tersebut yang beralamat di No. 3 Rue d'Alger.
Mendapat peluang bertemu keluarga Koperal Claudius Mazuet, Dunant memperhalusi satu persatu apa yang terjadi kepada satu-satunya anak lelaki mereka itu.
Pengalaman di Solferino itu dijadikan asas untuk penggubalan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah.
Bersama-sama empat lagi individu, Dunant membentuk ICRC pada tahun 1863. Atas usaha dan kerja-kerja beliau, pada tahun 1901, Dunant dianugerahkan Hadiah Keamanan Nobel yang pertama.
Pemulihan ikatan atau pertalian dengan keluarga walaupun semasa krisis kemanusiaan telah diinstitusikan oleh ICRC ketika ia mewujudkan perkhidmatan mencari ahli keluarga (tracing services) dan bantuan lain untuk tentera yang sakit dan cedera.
Semasa tercetusnya Perang Dunia Pertama, ICRC membantu memulihkan hubungan antara keluarga yang terpisah kerana perang.
Hari ini, lebih 160 tahun sejak pertempuran di Solferino, Pemulihan Ikatan Kekeluargaan telah menjadi satu aktiviti teras Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah.
Bagi masyarakat moden hari ini, teknologi telefon bimbit dan internet menukar cara komunikasi di mana merevolusi cara kita berhubung antara satu sama lain mengambil tempatnya.
Tetapi, jangan dilupakan, ada dalam kalangan masyarakat yang tiada akses kepada hak istimewa teknologi itu.
Mereka yang ‘kurang’ itu kebanyakannya terputus hubungan dengan keluarga kerana perang, bencana alam, penghijrahan atau pandemik seperti COVID-19.
Kumpulan yang kurang bernasib baik inilah yang menjadi inti misi Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah. Matlamatnya bukan apa-apa – hanya mahu mencegah, lalu mengurangkan penderitaan manusia di mana sahaja ia ada dalam dunia ini.
* Nama dan identiti individu serta lokasi dalam artikel ini dipinda untuk kerahsiaan dan tujuan perlindungan data.
Amrita Gunasekeran merupakan Pegawai RFL, Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) Kuala Lumpur.
Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
Amrita Gunasekeran
Fri May 22 2020
ICRC juga membincangkan bantuan lebih lanjut mengenai aspek Pemulihan Pertalian Kekeluargaan (Restoring Family Links atau RFL), perkhidmatan yang disediakan oleh Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah.
Kerja pembersihan tumpahan minyak sawit di Lebuhraya Karak selesai - LUAS
Kerja pembersihan tumpahan minyak susulan insiden kemalangan lori di Lebuhraya Karak arah Kuala Lumpur selesai dilaksanakan malam tadi.
Saham TNB: Melonjak pada sesi awal susulan cadangan tarif baharu
Saham Tenaga Nasional Bhd (TNB) melonjak pada sesi awal dagangan Jumaat selepas mengumumkan cadangan tarif baharu bagi Semenanjung Malaysia di bawah Tempoh Kawal Selia 4 (RP4).
Perdana Menteri Singapura Wong bentang Belanjawan 2025 pada 18 Feb
Belanjawan itu akan disiarkan secara langsung di televisyen dan radio.
JPJ sita lori tercabut tayar, dipercayai punca kemalangan
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menyita lori yang mengalami tayar tercabut dan dipercayai mengakibatkan kemalangan lima kenderaan di Kilometer 204.0 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
Penyedia media sosial diminta segera mohon lesen operasi di Malaysia
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata tarikh akhir mengemukakan permohonan adalah sebelum atau pada 31 Dis.
AWANI Ringkas: Nahas Ayer Keroh: JPJ sita lori terlibat
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
Dua pelayar maut dalam perlumbaan kapal layar Sydney ke Hobart
Dua pelayar maut dalam insiden berasingan semasa perlumbaan kapal layar tahunan Sydney ke Hobart, kata penganjur pada Jumaat, lapor agensi berita Jerman dpa.
Hanya 60 peratus hasrat tercapai setakat ini - Bin Shen
Katanya, 40 peratus lagi hasratnya belum tercapai, termasuk untuk mengemudi Aaron Chia-Soh Wooi Yik meraih emas di Sukan Olimpik Paris 2024.
Kendali DAX secara haram, SC kenakan tindakan celaan terhadap Bybit
SC berkata Bybit dan Ben Zhou telah disenaraikan dalam Senarai Makluman Pelabur SC sejak Julai 2021.
Empat cedera dalam insiden tembakan dan tikaman di Lapangan Terbang Phoenix pada malam Krismas
Polis terima panggilan mengenai insiden tembakan di sebuah restoran di luar kawasan pemeriksaan keselamatan di Terminal 4 lapangan terbang.
COVID-19: Normal baharu terpelihara, ikatan keluarga tahanan dijaga
RFL bermatlamat membantu mereka yang terputus hubungan dengan keluarga disebabkan konflik, bencana alam atau penghijrahan.