KUALA LUMPUR: Sabah melaporkan pertambahan 497 kes positif COVID-19 dengan Kluster Penjara Kepayan di Kota Kinabalu kembali mencatatkan 11 kes positif COVID-19 selepas tidak melaporkan pertambahan pada Rabu.

Pertambahan ini menyumbang kepada 17 kes melibatkan kluster penjara selepas Kluster Penjara Tawau juga merekodkan pertambahan enam kes hari ini.

Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, 48.3 peratus daripada jumlah keseluruhan yang dilaporkan dikesan menerusi saringan kontak rapat.

“Penyumbang utama kes hari ini dari saringan kontak rapat 240 kes atau 48.3 peratus diikuti 86 kes atau 17.3 peratus dari sarıngan individu bergejala.

‘’Saringan secara bersasar di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melaporkan pertambahan 35 kes.

‘’Daripada jumlah itu, 24 kes dilaporkan di Sandakan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

BACA: COVID-19: Tiada tambahan kes Kluster Penjara Kepayan punca penurunan di Sabah

Selain itu, dua kluster baharu juga dilaporkan melibatkan Kluster Kebun Lama, Papar dengan 24 kes dan Kluster Kuril Kinabatangan (10).

Antara lain, Kota Kinabalu kekal melaporkan kes positif tertinggi dengan 133 diikuti Sandakan (60), Papar (50) dan Beaufort (47).

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes di Sabah kepada 77,424 setakat ini.