Kementerian Kesihatan hari ini menafikan kakitangannya tidak patuh tatacara mengendalikan kes sehingga dijangkiti COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebaliknya, kakitangan KKM yang dijangkiti virus itu adalah disebabkan oleh mereka merupakan kontak rapat kepada kluster jemaah tabligh.

"Punca jangkitan bagi kesemua 19 anggota kesihatan KKM terbabit bukan disebabkan oleh ketidakpatuhan mereka semasa mengendalikan kes COVID-19 di peringkat fasiliti masing-masing.

"Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kesemua mereka merupakan kontak rapat generasi pertama dan kedua melibatkan kluster jemaah tabligh.

"KKM ingin mengingatkan kepada semua petugas kesihatan dan perubatan yang mengendalikan pesakit mengenai kepentingan untuk menggunakan penutup mulut dan hidung," katanya padang sidang media di sini hari ini.


Sehingga kini, 19 kakitangan KKM dan lima petugas daripada fasiliti kesihatan swasta telah disahkan dijangkiti COVID-19.

Dua daripada 19 orang kakitangan KKM tersebut kini sedang dirawat di ICU.

Sehingga 14 Mac 2020, bilangan anggota KKM yang telah menjalani ujian saringan pengesanan COVID-19 adalah seramai 337 orang.

Dari jumlah tersebut, 251 adalah didapati negatif – manakala baki 86 lagi masih menunggu keputusan.