Kes baharu positif COVID-19 di negara ini terus melonjak kepada tiga digit setakat 12 tengah hari Selasa selepas merekodkan 100 kes berbanding 62 kes pada hari sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,559 kes, sementara jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 meningkat kepada 295 kes.

Daripada jumlah kes baharu, sebanyak 85 kes merupakan jangkitan dalam negara, sementara 15 kes lagi adalah kes jangkitan import.

Selain itu, jelas Dr Noor Hisham, 62 kes daripada kes baharu COVID-19 adalah membabitkan Kluster Benteng Lahad Datu (LD).

"15 kes import tersebut adalah dari negara India (enam kes di Selangor, empat kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, satu kes di Negeri Sembilan.

"Selain itu, Indonesia (dua kes di Selangor); Pakistan (satu kes di Selangor); dan Filipina (satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur)," katanya dalam sidang media di sini, pada Selasa.

Jelas Dr Noor Hisham, sebanyak 12 kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 9,136 kes atau 95.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham memaklumkan tiada kematian berkaitan COVID-19 dicatatkan hari ini.

Ia menjadikan jumlah kematian di negara ini kekal sebanyak 128 kes atau 1.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Setakat ini, Dr Noor Hisham berkata sebanyak tujuh kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan empat daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Perincian kes adalah seperti berikut:

i. Sabah:
• 62 kes daripada Kluster Benteng LD.

ii. Kedah:

• 22 kes daripada Kluster Sungai.

iii. Perlis

• Satu kes daripada Kluster Sungai.