SUBANG:Dua buah pesawat angkut milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diterbangkan ke Sabah dan Sarawak bagi menghantar barang-barang kritikal dalam usaha memerangi penularan COVID-19 di negeri tersebut.

Dua pesawat itu membawa barang keperluan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti Peralatan Perlindungan Diri (PPE), pelindung muka, overalls atau jumpsuit, troli prosedur dan barang-barang lain untuk kegunaan petugas barisan hadapan di sana.

Turut dibawa adalah barangan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Komoditi seperti sarung tangan getah sebanyak 100 kotak dan barangan lain daripada Yayasan Amal Malaysia seperti tudung, Al-Quran dan pakaian.



Selain itu, dua pesawat tersebut juga membawa barangan daripada Kementerian Pertahanan iaitu pelitup muka, PPE dan barangan seperti ventilator serta pensanitasi tangan.

Pesawat pertama iaitu C-130H berlepas dari pangkalan tersebut pada jam 7.00 pagi manakala pesawat kedua, A400M berlepas pada jam 10.00 pagi dan tempoh masa penerbangan dijangka antara lapan hingga ke 10 jam.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempat meluangkan masa hampir satu jam meninjau persiapan yang dilaksanakan TUDM di Pangkalan Udara Subang pada pagi Jumaat.

Turut hadir Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad.



Bermula dari 22 Mac hingga 27 Oktober 2020, TUDM berjaya menyempurnakan 17 penerbangan penghantaran melibatkan muatan barang bantuan melebihi 433 tan.

Antara barang dibawa termasuklah keperluan petugas barisan hadapan, peralatan hospital medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), peralatan hospital KKM, mesin x-ray, mesin bius, bekalan farmasi, sampel COVID-19, peralatan memasak dan makanan.



Sepanjang Oktober, sebanyak 471 kotak sampel COVID-19 dari Labuan, Kota Kinabalu dan Tawau dibawa menggunakan penghantaran pesawat TUDM untuk diserahkan kepada KKM di Semenanjung Malaysia.