Daripada 26 kes baharu positif COVID-19 yang dicatatkan pada Sabtu, sebanyak 12 kes adalah membabitkan Kluster Tawar dan satu kes Kluster Muda.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, sebanyak 10 kes Kluster Tawar direkodkan di Kedah dan Pulau Pinang (dua).

"Adalah dimaklumkan bahawa terdapat 12 kes baharu dilaporkan bagi Kluster Tawar pada hari ini, iaitu 10 kes di Kedah dan dua kes di Pulau Pinang. Ini menjadikan jumlah kes dikesan positif COVID-19 bagi kluster ini sebanyak 33 kes," katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.

Tambahnya sehingga kini, seramai 657 individu telah disaring dalam kluster itu di Kedah dengan 30 individu dikesan positif COVID-19, 472 individu negatif dan 18 individu lagi masih menunggu keputusan.

Sementara itu di Pulau Pinang, seramai 129 individu telah disaring dengan tiga kes positif dicatatkan, 119 individu negatif dan tujuh individu masih menunggu keputusan.

Di Perak pula, seramai lapan individu telah disaring dan sedang menunggu keputusan.

Bagi Kluster Muda pula, sebanyak satu kes dicatatkan pada Sabtu menjadikan jumlah kes positif kluster berkenaan sebanyak tiga kes setakat ini.

Seramai 133 individu telah disaring, 27 individu negatif dan 103 individu lagi masih menuggu keputusan.

Justeru, Kementerian Kesihatan sedang menjalankan pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat bagi kedua-dua kluster terbabit.