KUALA LUMPUR: Sarawak hari ini melaporkan pertambahan 252 kes positif COVID-19 menjadikan jumlah kes positif di negeri itu kepada 11,348.

Sibu terus menyumbang angka tertinggi dengan 149 kes diikuti Bintulu (23), Miri (17), Subis (13), Kuching dan Mukah (tujuh), Betong, Sarikei dan Sebauh (enam), Kanowit dan Kapit (lima), Julau dan Meradong (dua) manakala satu kes di Belaga, Beluru, Samarahan dan Tatau.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, satu kematian di Hospital Kapit dilaporkan melibatkan kes 10,250.

“Kes disahkan positif COVID-19 pada 1 Mac 2021 dan disahkan meninggal dunia pada 6 Mac 2021.

“Ini menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 88 kes atau 0.78 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif yang dilaporkan di negeri itu,” kata kenyataan itu.

Selain itu, 26 kluster kekal aktif dengan hanya empat kluster merekodkan pertambahan kes positif.

Antara lain, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Emperoh Jambu di Padawan ditamatkan selepas keputusan ujian saringan kedua tidak melaporkan pertambahan kes positif baharu.

Terdahulu JPBN Sarawak bersetuju melaksanakan PKPD di penempatan tersebut selama 14 hari bermula 23 Februari 2021 sehingga 8 Mac 2021.