PUTRAJAYA: Universiti Awam akan mengurangkan beberapa jenis yuran bagi membantu pelajar yang terjejas akibat masalah kewangan, bermula Semester Kedua Sesi Akademik 2019/20, hingga hari ini.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan hari ini berkata, antara jenis yuran yang dikurangkan ialah Yuran Perkhidmatan, Yuran Asrama, Yuran Konvokesyen dan Yuran Aktiviti Kolej, dengan purata antara 10% sehingga 35%.

Kadar pengurangan itu, menurut Kementerian lagi, munasabah memandangkan 20 UA yang terbabit, terpaksa menanggung kos operasi yang tinggi.

“Pengurangan yuran bagi Semester Kedua Sesi Akademik 2019/2020 untuk semua pelajar warganegara Malaysia melibatkan peruntukan sebanyak RM75 juta yang mana RM20 juta merupakan peruntukan tambahan Kerajaan dan RM55 juta menggunakan sumber dalaman UA.

“Bagi Semester Pertama Sesi Akademik 2020/2021, pengurangan yuran sebanyak RM70.2 juta diberikan oleh Universiti Awam. Manakala, bagi Sesi Kedua Sesi Akademik 2020/2021 pula pengurangan sebanyak RM40.5 juta telah diberikan,” menurut KPT lagi.


Kementerian berkata, langkah-langkah yang telah diambil ini jelas memperlihatkan keprihatinan Kerajaan dalam menangani bebanan kewangan yang dihadapi oleh pelajar dan ibubapa.

Selain itu, Kementerian berkata, 20 UA itu terpaksa menanggung kos operasi dengan menggunakan sumber peruntukan dalaman university, susulan penurunan penjanaan pendapatan menerusi yuran pelajar, selain pengurangan peruntukan mengurus oleh Kerajaan berikutan pandemik yang dihadapi kini.