KUCHING: Sarawak mencatatkan 20 kes kematian akibat COVID-19 di negeri itu dalam tempoh 7 September hingga 6 Oktober 2021 melibatkan pesakit berusia di antara 38 hingga 83 tahun.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) mendedahkan tujuh daripadanya adalah kes kematian sebelum tiba ke hospital (BID), dua kes di Kuching, dan masing-masing satu kes di Samarahan, Betong, Saratok, Sarikei, Sibu, Limbang dan Sri Aman.

“Kesemua kes BID ini melibatkan individu berusia di antara 44 hingga 71 tahun dengan pelbagai komorbid antaranya kencing manis, displidemia, kanser, darah tinggi, dan penyakit jantung,” jelasnya dalam laporan harian COVID-19 pada Khamis.

Selain itu, Sarawak mencatatkan peningkatan kes kategori 3, 4, dan 5 kepada 26 kes iaitu 1.84 peratus daripada 1,413 jumlah kes baharu sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 kepada  221,042 kes.

Manakala 1,387 kes bersamaan 98.16 peratus adalah kes kategori 1 dan 2 yang tiada gejala atau bergejala ringan.

“Daerah Kuching kekal menyumbang kes tertinggi dengan 387 kes diikuti Miri (193 kes) dan Sibu (131 kes) manakala 34 daerah lain mencatatkan dua ke satu angka kes sahaja,” jelasnya.

Dalam pada itu, enam buah rumah panjang melibatkan empat daerah turut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari sementara PKPD di 11 lokaliti ditamatkan hari ini.

Untuk rekod, kluster aktif di Sarawak terus berkurang kepada 89 kluster dengan 10 kluster mencatatkan penambahan 55 kes.

Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seramai 156,617 individu di bawah pemantauan (PUS) di seluruh bahagian telah discaj daripada rawatan COVID-19.