SHAH ALAM: Juara sebuah program realiti TV, Cliff Umar mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis, atas pertuduhan memiliki dadah jenis heroin, Ahad lalu.


Ringkasan AI
  • Cliff Umar, juara program realiti TV, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan memiliki dadah jenis heroin pada 26 Mei lalu.
  • Mahkamah menetapkan tarikh 31 Julai untuk laporan kimia sebelum menjatuhkan hukuman.
  • Cliff Umar menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Cliff Umar atau nama sebenarnya, Abdullah Umar Joseph, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan tarikh 31 Julai untuk laporan kimia, sebelum menjatuhkan hukuman.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa memiliki heroin seberat 0.39 gram, di tepi Jalan Persiaran Kewajipan, Subang Jaya dekat sini pada jam 3.30 petang, 26 Mei lalu.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Annur Athirah Amran memohon tarikh baharu bagi sebutan laporan kimia dan mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000.

Peguam Sallehuddin Salam yang mewakili Cliff Umar dalam rayuannya bagaimanapun memohon jaminan rendah kerana tertuduh menanggung isteri dan empat anak masih bersekolah.

Beliau berkata, tertuduh hanya bekerja sebagai pemain muzik dengan pendapatan tidak menentu.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM3,300 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan laporan kimia ditetapkan 31 Julai depan.