Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan memperoleh suapan bagi kontrak kerja pembekalan bot Melaka River Cruise (MRC), tiga tahun lalu.

Tertuduh Mohd Fariz Mohd Ali, 38 tahun, membuat pengakuan itu sejurus empat pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut keempat-empat pertuduhan, tertuduh yang ketika itu berjawatan pengurus di Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Produk PPSPM secara rasuah menerima suapan tunai berjumlah RM260,000 daripada Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat LEC Impressions Sdn Bhd.

Wang itu sebagai dorongan mencadangkan syarikat berkenaan untuk memperoleh projek membekal 10 buah bot Melaka River Cruise kepada PPSPM.

Kesemua kesalahan itu dibuat dalam empat perjumpaan berasingan bersama wakil syarikat, Osman Abdul Rahman di dua lokasi berbeza sekitar daerah Melaka Tengah antara 4 Januari hingga 15 November 2017 lalu.

Justeru bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Tertuduh turut ditawarkan empat pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membolehkannya dipenjara selama dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, bagi kesalahan sama kerana menerima suatu benda berharga tanpa balasan.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin mencadangkan jaminan RM50,000 dengan mengambil kira nilai suapan diterima tertuduh yang juga seorang penjawat awam melebihi RM200,000.

Mohd Nasir pada penghakimannya kemudian menerima cadangan pihak pendakwa raya selain mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah turut meminta tertuduh supaya melapor diri pada minggu pertama setiap bulan di Pejabat SPRM Melaka di Alai dan menetapkan 23 Julai sebagai tarikh sebutan semua kes dan serahan dokumen.

Tertuduh diwakili Peguam Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman dan Aiman Abdul Rahman.