KUALA LUMPUR: Commerce Dot Com Sdn Bhd (CDC) menjalin kerjasama dan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Institut Integriti Malaysia (IIM) bagi mengukuhkan komitmen mempertingkatkan integriti dan tadbir urus yang baik dalam e-Perolehan.

Dalam masa sama, MoU itu juga memberi penekanan kepada akauntabiliti dan ketelusan dalam landskap perolehan di Malaysia.

Menerusi usaha sama ini, CDC komited untuk memupuk integriti, tadbir urus dan piawaian etika dalam kalangan tenaga kerjanya serta seluruh komuniti e-Perolehan.

Selain itu, CDC juga berhasrat memperkukuhkan amalan etika dalam pengurusan sistem e-Perolehan dengan memberi penekanan pada aspek pemahaman bersama atau “shared understanding.”

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CDC, Datuk Muzafar Kamal Shahaluddin, usaha sama dengan IIM sangat signifikan dan merupakan satu langkah penting bagi meningkat piawaian atau standard integriti dalam sistem e-Perolehan Malaysia.

“(Peningkatan dibuat) melalui pemerkasaan tenaga kerja kami serta penyertaan komuniti secara aktif (dan) kami kekal komited untuk memupuk budaya ketelusan dan akauntabiliti, bagi mengekalkan kepercayaan orang ramai dan memastikan keberkesanan proses perolehan itu sendiri," kata beliau.

Usaha sama ini menyaksikan CDC mempromosi pelbagai inisiatif integriti dengan memanfaatkan kepakaran IIM untuk memperkukuh nilai moral dalam komuniti e-Perolehan yang diurus CDC.

Perkara ini penting untuk memastikan tadbir urus sektor kerajaan dan sektor perniagaan dilindungi, melalui integrasi sistem, proses dan pengguna.

MoU berkenaan juga menggariskan langkah proaktif untuk kedua-dua entiti menerap piawaian integriti yang tinggi dalam sistem perolehan kerajaan serta memupuk persekitaran yang telus dan bertanggungjawab.

Satu jawatankuasa yang ditubuhkan CDC bersama IIM, akan memantau pelaksanaan MoU tersebut dengan mengadakan mesyuarat berkala untuk memastikan penyampaian dan penambahbaikan yang berkesan.

Melalui MoU ini, CDC akan mengukuhkan komitmennya untuk menegakkan budaya integriti dan memastikan akauntabiliti di dalam sektor awam Malaysia.

Majlis pertukaran MoU oleh Muzafar Kamal dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IIM, Rahman Mohd Din itu disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof bersempena Ssambutan Bulan Integriti Nasional (SBIN) bertempat di Dewan MATRADE Kuala Lumpur.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang juga Pengerusi IIM.