Kerajaan sentiasa mencari jalan penyelesaian sebarang isu yang melibatkan pembangunan kemahiran dan keusahawanan belia di negara ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan berkata, ia melibatkan skop penglibatan belia dalam membuat keputusan selain kerangka dasar belia serta pelan tindakan penyelesaian tersebut.

"Kita mencari kaedah terbaik untuk pembangunan belia, sedia maklum masalah mereka biasanya melibatkan kemahiran dan keusahawanan untuk meningkatkan prestasi diri.

"Kita memberi bantuan serta menyalurkan sokongan dari setiap segi termasuk pelan tindakan belia untuk memajukan golongan berkenaan sekali gus merangka jalan keluar apa sahaja isu yang melanda belia negara," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.


Saravanan mewakili negara dalam mesyuarat pembangunan belia melibatkan lapan negara di India. - Sumbar gambar Saravanan


Saravanan kini berada di New Delhi, India sebagai wakil negara pada mesyuarat melibatkan lapan negara di peringkat Asia yang membincangkan pembangunan belia.

Mesyuarat empat hari itu melibatkan wakil dari Brunei, India, Maldives, Pakistan, Singapura dan Sri Langka.

Kata Saravanan, mesyuarat itu turut membentangkan laporan strategik Sekretariat Komanwel yang akan digunakan kepada pembangunan belia di negara masing-masing.

"Kita lihat ia lebih kepada perkongsian idea dan penglibatan dari proses membuat keputusan sehingga aplikasi ke peringkat global," ujarnya.

Sebelum ini, laporan sebuah akhbar menyatakan dapatan Forum Belia ASEAN Malaysia yang menyebut golongan belia di negara ini digesa mempersiapkan diri untuk terlibat dalam setiap sektor komuniti ASEAN terutamanya dalam aspek pembinaan keupayaan selain dilihat sebagai pemangkin komuniti Asean.

Saravanan sebelum ini menyatakan, Kerajaan perlu mempertingkatkan usaha dalam memastikan majoriti golongan belia mempunyai kadar pendapatan sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan untuk merealisasikan hasrat mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Jelasnya, perkara tersebut penting bagi memastikan kadar pendapatan golongan tersebut selari dengan tahap perkembangan pembangunan negara.