IPOH: Seorang pegawai kanan polis ditahan bagi membantu siasatan seorang pelajar 17 tahun maut dilanggar lari sebuah kereta berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Meru, di sini tengah pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pegawai polis berkenaan dari Kontinjen Kedah dan akan direman hari ini.

Pada masa sama, katanya, pihak polis akan menjalankan siasatan dari pelbagai sudut, termasuk siasatan jenayah yang menjurus kepada kesalahan mematikan orang di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“PDRM tidak akan melindungi sesiapa termasuk pegawainya sendiri sekiranya mempunyai bukti yang kukuh,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mengetahui atau melihat kejadian tersebut agar berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Jong Pit Chiao di talian 016-8849163.

Beliau juga menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau menimbulkan kegusaran awam.

Yahaya berkata, kemalangan itu kira-kira jam 12.40 petang yang melibatkan kereta jenis Perodua Ativa dipandu pegawai terbabit dengan motosikal jenis Yamaha ditunggangi mangsa.

Katanya, penunggang motosikal berusia 17 tahun meninggal dunia di tempat kemalangan manakala pemandu kereta berumur 44 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya lagi, hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian ialah kecederaan di bahagian dada dan abdomen daripada kemalangan jalan raya.

Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar lelaki maut selepas dilanggar dan diseret sebuah kereta di Jalan Taman Jati berhampiran SMK Jati, Meru.

Kejadian sekitar jam 12.30 itu berlaku ketika mangsa, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam perjalanan pulang dari sekolah dengan menunggang motosikal.