Ringkasan AI
- Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar kuasa veto diharamkan, terutama dalam kes kekejaman besar. Beliau menekankan bahawa struktur dan proses keputusan UNSC yang lapuk telah menghalang majlis itu menjalankan mandatnya dengan berkesan.
- Anwar menekankan kebuntuan UNSC telah memberi kesan buruk seperti di Gaza, penindasan etnik Rohingya, dan perang di Ukraine. Beliau menyeru peraturan jelas mengenai kuasa veto dan sokongan lebih luas dalam pengambilan keputusan.
- Dalam ucapannya di Common Action Forum 2024, Anwar menyeru dunia bergerak ke arah sistem yang lebih adil dengan bersolidariti, seperti yang dilakukan terhadap apartheid Afrika Selatan, untuk mengatasi tindakan kejam Israel terhadap Palestin dan krisis kemanusiaan lain.
Beliau berkata, kuasa veto telah melumpuhkan peranan UNSC, selain struktur dan proses membuat keputusannya juga sudah lapuk, seterusnya menghalang majlis itu memenuhi mandat sebenar.
‘’Peranan UNSC ketika ini lebih menjurus ke arah kebuntuan daripada menjadi satu instrumen untuk sesuatu tindakan.
‘’Kita dapat melihat hasil daripada kebuntuan itu dengan kesannya di Gaza, penindasan terhadap etnik Rohingya dan dalam perang di Ukraine.
‘’Sehingga veto dapat dihapuskan, kita perlu menetapkan peraturan yang jelas mengenai penggunaannya.
‘’Veto harus dilarang dalam kes kekejaman besar dan memerlukan sokongan yang lebih luas daripada kedua-dua anggota tetap dan tidak tetap serta tertakluk kepada pengesahan oleh Perhimpunan Agung melalui majoriti mudah,’’ katanya.
Anwar berkata demikian dalam ucapannya sempena Common Action Forum (CAF) 2024 yang bertemakan ‘Sovereignty and Fair Interdependence - The Global South and The Democratisation of Prosperity.’
Tambah Anwar, inilah cara dunia seharusnya bergerak ke arah sistem yang lebih adil dan bertanggungjawab dengan memperkukuhkan keadilan dan tindakan.
‘’Kita berada di persimpangan kritikal untuk keadilan global. Tindakan Israel terhadap rakyat Palestin dan jenayah perang, hukuman kolektif dan pembunuhan beramai-ramai adalah satu penghinaan terang-terangan terhadap norma undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia yang asas.
‘’Sejarah menunjukkan kepada kita kuasa solidariti ketika (dunia) berhadapan dengan aparteid di Afrika Selatan, dunia bersatu untuk mengasingkan rejim yang telah meminggirkan prinsip-prinsip kemanusiaan.
‘’Hari ini, pencerobohan berterusan Israel menuntut respons serupa. Ketidakpedulian (Israel) terhadap nyawa warga Palestin dan sasaran berterusan terhadap UNRWA telah memusnahkan kehidupan di Gaza,’’ katanya lagi.