AYER KEROH: Cadangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Ayer Keroh dibatalkan selepas mengambil kira jangkitan membabitkan warga asing lebih tinggi berbanding jumlah penduduk tempatan di kawasan berkenaan.

Exco Kesihatan dan Antidadah Negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, ia juga diputuskan selepas meneliti kesan pelaksanaan tersebut terhadap 15,000 penduduk di empat taman perumahan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, memandangkan jangkitan membabitkan pekerja asing adalah lebih tinggi, kerajaan negeri mencapai keputusan untuk hanya melaksanakan PKPD secara pentadbiran di 400 rumah pekerja warga asing serta kawasan kilang yang terdapat kes positif COVID-19.

“Kita ambil pendekatan untuk membatalkan bukan sebab tular sahaja, itu adalah kerana kawasan itu agak besar melibatkan 15,000 orang.

“Kes tempatan tidak banyak, yang banyak kes dalam kalangan pekerja asing. Maka sebab itu kita buat pendekatan lain. Kita buat PKPD secara pentadbiran di kilang-kilang,” katanya.

Sebelum ini kerajaan negeri Melaka membuat laporan polis susulan penyebaran maklumat sulit berhubung perancangan pelaksanaan PKPD di Ayer Keroh.

Batal PKPD | Kerajaan negeri Melaka buat laporan polis


Mengulas lanjut ujarnya, tiga kaedah dilakukan sepanjang pelaksanaan PKPD pentadbiran iaitu dengan mengawal pergerakan pekerja asing dan melaksanakan saringan COVID-19 kepada keseluruhan 10,000 pekerja di kawasan perindustrian berkenaan.

Selain itu, kerajaan negeri juga akan mempercepatkan proses vaksinasi dalam tempoh terdekat kepada semua pekerja kilang di kawasan itu.