BANGI: Cadangan Piagam Harmoni Malaysia akan dibawa dan dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar.

Mohd Na'im berkata langkah seterusnya ialah membentangkan piagam itu di Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dan Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan.

"Semalam kita sudah bawa usul Piagam Harmoni Malaysia dalam Jawatankuasa HARMONI (Keharmonian Antara Penganut Agama) yang saya dan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang pengerusikan secara bersama.

"Usul ini telah diterima sebulat suara dan insya-Allah akan dibawa ke mesyuarat Kabinet untuk dapatkan keputusan dasar," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan dan Sambutan Bulan Kebangsaan peringkat agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di sini hari ini.

Mohd Na'im berkata piagam berkenaan diwujudkan secara bersama antara ilmuwan Islam dan agama lain di negara ini yang bertujuan memastikan semua rakyat berbilang kaum saling menghormati serta menjalani kehidupan secara harmoni.

"Dengan cara ini kita akan dapat membina kehidupan yang harmoni dan sejahtera. Ia juga dibangunkan untuk menyokong Rukun Negara.

"Dalam kita membangunkan piagam ini, semua pakar kita panggil. Pakar dalam agama Islam dan agama lain untuk memberikan pandangan dan input," katanya.

Semalam, media melaporkan Piagam Harmoni Malaysia sebagai medium perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia telah diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa HARMONI.

Piagam itu merangkumi enam prinsip, 12 nilai keharmonian, 32 panduan dan sembilan hala tuju yang bertujuan memperkasakan hubungan masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya di negara ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Na'im berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung kegiatan mempromosi agama Kristian di hadapan sebuah surau berdekatan bangunan Stadthuys di Banda Hilir, Melaka pada bulan lepas.

"Saya difahamkan laporan polis telah dibuat jadi saya rasa elok kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan," katanya sambil menambah JAKIM tidak akan berdiam diri sekiranya terdapat unsur perbuatan mencemari kesucian agama Islam.

Bulan lepas, tular video berdurasi 16 saat memaparkan sekumpulan individu menjalankan aktiviti mempromosi Free Bible Course's di hadapan Surau Warisan, di Melaka yang menjadi kawasan tumpuan pelancong.

-- BERNAMA