SHAH ALAM: Pengoperasian Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) daerah Klang di Dewan Sukan Klang Taman Sri Andalas berakhir hari ini dan berpindah ke Dewan Serbaguna Pelabuhan Klang pada Jumaat.

Kenyataan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang hari ini memaklumkan pengoperasian CAC di Dewan Sukan Klang Taman Sri Andalas akan ditamatkan pada 12 tengah hari manakala operasi di lokasi baharu bermula pada 8.30 pagi 30 Julai.

"Dewan Serbaguna Pelabuhan Klang ini dipilih sebagai lokasi baharu CAC daerah Klang berdasarkan kedudukannya yang jauh dari kawasan penempatan. Ini sekali gus akan mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memudahkan urusan petugas dan pesakit yang mengunjungi CAC ini," menurut kenyataan PKD Klang semalam.

PKD itu juga merakamkan penghargaan kepada penduduk setempat dan agensi kerajaan serta bukan kerajaan yang telah memberikan kerjasama dan bantuan semasa pengoperasian CAC di Dewan Sukan Klang Taman Sri Andalas sebelum ini.

Media sebelum ini melaporkan pembukaan CAC di Dewan Sukan Klang Taman Sri Andalas yang beroperasi 12 Julai lepas mendapat bantahan daripada penduduk setempat yang menyifatkan ia tidak sesuai kerana berhampiran rumah penduduk serta berdekatan dengan laluan utama keluar masuk ke taman itu.

Pada 13 Julai lepas, Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata CAC daerah Klang akan dipindahkan dalam tempoh dua minggu dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor sudah mengenal pasti lokasi sesuai.

-- BERNAMA