KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang penganggur menjalani pemeriksaan mental, sebelum lelaki itu dijatuhkan hukuman kerana membunuh ibu dan bapanya, yang mayat mereka ditemukan dalam keadaan berlumuran darah, tahun lepas.


Ringkasan AI
  • Mahkamah Tinggi memerintahkan Afendi Muhammad Agus menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Ipoh, sebelum dijatuhkan hukuman kerana membunuh ibu dan bapanya pada Disember 2023.
  • Hakim K. Muniandy menyatakan bahawa pemeriksaan mental diperlukan untuk memastikan pengakuan bersalah Afendi adalah dalam keadaan waras dan sukarela. Mahkamah menetapkan 27 Januari depan untuk pengurusan kes.
  • Afendi didakwa membunuh ibu bapanya di Kampung Sungai Penchala, Brickfields, dan menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebat tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.


Hakim K. Muniandy berkata Afendi Muhammad Agus, 43, perlu membuat pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Ipoh bagi memastikan pengakuan bersalah yang dibuat pada 6 Sept adalah dalam keadaan waras serta sukarela.

"Pegawai penyiasat perlu memohon pemeriksaan mental dilakukan ke atas tertuduh kerana jenayah dilakukan tertuduh adalah berat.

"Mahkamah ingin tahu kewarasan tertuduh dan seterusnya menerima pengakuan salahnya atau kes itu diteruskan dengan perbicaraan," kata hakim itu.

Mahkamah menetapkan 27 Jan depan untuk pengurusan kes bagi kedua-dua pihak memaklumkan mengenai laporan pemeriksaan mental tersebut.

Terdahulu, Muniandy bertanyakan kepada Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqilah Ishak, sama ada pemeriksaan mental telah dilakukan terhadap tertuduh sebelum mahkamah dimaklumkan bahawa siasatan mendapati lelaki itu berada dalam keadaan baik dan tiada gangguan mental semasa kejadian.

"Pihak kami menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada tertuduh perlu membuat pemeriksaan mental atau sebaliknya bagi mendapatkan keadilan," kata Nur Aqilah.

Peguam Mohd Ruzaini Zulkifli mewakili Afendi berkata keadaan tertuduh normal ketika beliau berkomunikasi dengannya, namun tidak membantah sekiranya pemeriksaan mental perlu dilakukan ke atas tertuduh.

Afendi didakwa membunuh Muhammad Agus@Muhamed Ali Omar, 82, dan Darlisma Njatu Saleh, 72, di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, Brickfields di sini, pada 7.10 malam dan 7.20 malam, 9 Dis 2023.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang berdepan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan sebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, media melaporkan mayat suami isteri warga emas ditemukan di ruang tamu kediaman mereka dengan beberapa kesan tikaman pada tubuh selepas berlaku pergaduhan antara lelaki berkenaan dengan ibu bapanya itu.

-- BERNAMA