KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini menjelaskan 'influencer' atau pempengaruh yang bakal menerima vaksin esok sebenarnya adalah ketua-ketua jabatan klinikal Hospital Serdang.

Beliau yang merujuk laporan sebuah portal berita, berkata pemvaksinan ke atas ketua jabatan terbabit bertujuan menggalakkan staf mereka yang bertugas sebagai barisan hadapan turut mengambil vaksin itu.

"Tidak ada yang memotong barisan. Mereka yang bukan petugas perubatan termasuk bahagian pentadbiran, tidak dimasukkan dalam senarai penerima itu," katanya dalam hantaran menerusi Twitter beliau.

Terdahulu hari ini, portal berita tersebut melaporkan pihak pengurusan Hospital Serdang bercadang menyenaraikan 'influencers sebagai antara yang bakal menerima vaksin COVID-19 esok, sekali gus mencetuskan kebimbangan banyak pihak.

Dalam hantaran berbeza, Dr Noor Hisham berkata bagi Fasa 1, keutamaan ialah memastikan mereka yang akan menjalankan proses vaksinasi itu menerima vaksin masing-masing terlebih dahulu, diikuti staf yang menguruskan atau terdedah kepada pesakit COVID-19 termasuk pekerja pembersihan.

"Malah, staf di ibu pejabat Kementerian Kesihatan (KKM) yang terlibat dalam pasukan petugas serta Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis (CPRC) pun tidak termasuk dalam Fasa 1 ini. Justeru, sila tunggu giliran anda," tegasnya.

Sementara itu dalam kenyataannya, Dr Noor Hisham yang menafikan laporan berhubung pelan memberi vaksinasi kepada pempengaruh tersebut, turut mengingatkan pertubuhan media agar berhati-hati ketika membuat laporan selain hanya melaporkan berita yang disahkan.

"KKM berharap laporan palsu seperti ini dapat diambil tindakan segera oleh pihak berwajib bagi mengelak salah faham dalam kalangan masyarakat," katanya.

-- BERNAMA