BUKIT KAYU HITAM: Tidak seperti suasana ketika pembukaan pintu sempadan Malaysia-Singapura di Tambak Johor yang disambut meriah tepat jam 12 tengah malam tadi.

Pembukaan pintu sempadan Malaysia-Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam hari ini lengang pada empat jam terawalnya.

Tinjauan Astro AWANI di pintu sempadan yang mula dibuka seawal jam 6 pagi tadi, juga mendapati laluan berkenaan hanya dilalui kenderaan perdagangan melibatkan lori-lori kargo tanpa dipenuhi kebanjiran manusia yang ingin memasuki negara Malaysia atau Thailand.


Timbalan Pengarah Imigresen Kedah (Kawalan), Rosmaliza Mohamed Rashid menyatakan bahawa pihaknya mendapati pergerakan keluar masuk pengunjung atau pengembara di Kompleks ICQS setakat jam 10 pagi ini hanya dalam jumlah yang kecil.

"Sejak pintu sempadan dibuka pada jam 6 pagi tadi, lebih kurang 2 atau 3 orang (sahaja) kena tolak kemasukan, sebab tidak memenuhi syarat kemasukan yang ditetapkan MKN (iaitu) tidak ada pendaftaran MySejahtera, tidak ada insurans yang kerajaan kita tetapkan, jadi kita arahkan (mereka untuk) berpatah balik ke Thailand.

"(Jika mengikut bilangan) untuk pagi ini lebih kurang 10 orang sahaja masuk (ke negara kita dari Thailand), manakala (untuk yang dari) Malaysia ke Thailand, tidak lebih 20 orang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Sambutan Ketibaan Pengunjung sempena Pembukaan Sempadan Malaysia-Thailand di ICQS Bukit Kayu Hitam, pada Jumaat.

SEMUA MENGENAI PEMBUKAAN SEMPADAN NEGARA DI SINI

Dalam perkembangan sama, Rosmaliza turut mengingatkan semua pengembara yang ingin melakukan perjalanan merentas negara terutama di Bukit Kayu Hitam untuk mematuhi peraturan serta syarat yang telah ditetapkan kerajaan kedua-dua negara.

24 Mac lalu, Malaysia dan Thailand mengumumkan kebenaran pergerakan keluar masuk pengembara antara kedua-dua negara menerusi dua pintu sempadan darat, bermula 1 April.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata kedua-dua negara itu bersetuju membuka pintu masuk di Bukit Kayu Hitam-Sadao dan Wang Kelian-Wang Prachan buat masa ini.

Setakat ini, katanya, pergerakan keluar masuk kedua-dua negara itu hanya terhad kepada pelancong sahaja, manakala kemasukan secara harian dan lain-lain masih dibincangkan.