BATU PAHAT: Majlis Pemulihan Negara (MPN) berharap kerajaan mempermudahkan prosedur operasi standard (SOP) termasuk kepada mereka yang berulang alik setiap hari untuk bekerja di Singapura.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah tersebut bagi memastikan usaha memulihkan semula ekonomi negara tidak terhalang ekoran kekangan SOP.

“Jangan ada yang kena kuarantin, atau mungkin kuarantin tak boleh masuk.

“Jadi kalau tidak ada kuarantin, cuma apakah dia perlu membuat ujian PCR, atau RTK sahaja.

“Ini perkara-perkara yang saya rasa akan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), yang nanti tidak akan dilihat sebagai penghalang.

“Kita nak mudahkan pembukaan sempadan supaya ekonomi kita tumbuh,” katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian pada Program MAFI & Majlis Pemulihan Negara Bersama Komuniti Agromakanan di Sri Medan, di sini pada Rabu.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee.

Mengulas lanjut, bekas Perdana Menteri itu berkata, peraturan dan SOP sedia ada boleh diambil kira untuk pembukaan sempadan negara pada 1 April ini.

“Jadi seboleh mungkin untuk Johor-Singapura, jangan ada kuarantin.

“Ikut peraturan yang ada, dan pakai SOP.

“Cuma kalau dia terasa tak sihat, dia buat ujian dan boleh pergi. Kalau dia masuk Singapura, tinggal lah di rumah sahaja dan tak payah ke hospital.

“Jadi saya harap langkah sebegini akan diambil kira,” ujarnya lagi.

Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sempadan negara akan dibuka bermula 1 April ini.


Keputusan itu dibuat berdasarkan tiga perkara asas iaitu panduan sains dan fakta terkini berkaitan COVID-19, membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara lain dan memberikan keselesaan kepada pengembara.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad pula menggesa kerajaan memuktamadkan SOP perjalanan ulang alik harian melibatkan pekerja dari Johor ke Singapura.