Menerusi data Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia, dalam setahun rakyat di negara ini mengambil masa sembilan jam 22 minit seminggu untuk membaca 16 naskhah bercetak dan lapan digital.
Kajian merekodkan rakyat Malaysia membeli satu hingga lima naskhah bahan bacaan dengan 69.9 peratus individu membaca untuk meningkatkan ilmu pengetahuan.
Statistik Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menunjukkan sebanyak 102,813 program galakan membaca diadakan di seluruh negara sepanjang 2024 sehingga Ogos lalu.
Ia membabitkan lebih 3.7 juta individu yang terlibat dalam program anjuran PNM, perpustakaan desa, perpustakaan komuniti, dan Perpustakaan Awam Negeri Perlis.
Lebih terperinci, seramai 563,302 orang mengunjungi PNM sejak Januari sehingga Ogos lalu dengan 61.3 peratus adalah pengunjung dewasa dan bakinya adalah kanak-kanak.
Usaha di bawah Kementerian Perpaduan Negara itu diharap dapat membantu mencapai matlamat Malaysia sebagai negara pembaca menjelang 2030.