Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menaruh harapan positif untuk kemungkinan penjawat awam diberi bonus sempena Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata, walaupun beliau belum pasti tentang jumlah bonus yang akan diterima, beliau yakin bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan memberikan berita yang positif kepada penjawat awam.

Beliau berkata demikian semasa mengulas penyebaran berita di laman sosial tentang bonus Hari Raya yang kononnya telah ‘diluluskan’.

“Saya belum terima apa-apa maklumat lagi. Tiada hitam putih. Saya juga tidak tahu jumlah bonus tersebut. Apa-apa pun, kita nantikan sahaja kenyataan Perdana Menteri nanti,”

Pada 17 Julai, Najib berkata kerajaan akan mengkaji kemungkinan memberi bonus kepada penjawat awam menjelang ketibaan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi.

Beliau berkata kerajaan masih mempunyai masa untuk memutuskan perkara itu.

Sebelum ini, Omar meminta kerajaan mempertimbang pemberian bonus setengah bulan gaji kepada sempena Aidilfitri bagi mengurangkan beban penjawat awam menjelang Aidilfitri.

Sementara itu, pelbagai perbincangan tentang berita bonus Hari Raya itu dikongsikan di laman media sosial dan ada juga yang telah awal-awal lagi membuat spekulasi tarikh bonus.