Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan insiden itu pada jam 10.12 pagi.
"Sepasukan lima anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan Indah bergegas ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Ahmad Mukhlis berkata, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Ameran Muda melaporkan banjir disebabkan limpahan air sungai yang berdekatan telah masuk ke kawasan perumahan.
"Kejadian itu melibatkan 10 buah kereta terkandas dalam banjir. Paras air dianggarkan 0.3048 meter," katanya.
Dalam kejadian berasingan, Ahmad Mukhlis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian banjir di kawasan parkir sebuah kondominium Ukay Bistari pada jam 9.52 pagi.
"Seramai tujuh anggota dan pegawai bersama jentera dari BBP Ampang bergegas ke lokasi kejadian.
"Banjir itu disebabkan takungan air hujan di kawasan parkir, kedua-dua kejadian itu tidak melibatkan mangsa," ujarnya. - Sinar Harian