Sepandai-pandai beruk memetik kelapa, akhirnya gayat untuk turun.

Itu mungkin 'pepatah' baharu yang boleh diungkapkan untuk apa yang berlaku ke atas seekor haiwan itu. Walaupun aneh ia benar-benar berlaku di Kampung Alor Bakat, Ketereh Kelantan.

Beruk jantan berkenaan milik warga emas dikenali sebagai Pak Lah dikatakan tersangkut di atas sebatang pokok kelapa setinggi 12 meter.


JBPM terpaksa menggunakan tangga untuk membawa turun beruk gayat itu.
Haiwan itu juga dikatakan terpaksa berada di atas pokok tersebut kira-kira 40 minit sebelum diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Kelantan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang semalam, Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh menerima panggilan kecemasan untuk membantu menyelamatkan seekor beruk yang di atas sebatang pokok kelapa.
JBPM terpaksa menggunakan tangga untuk membawa turun beruk gayat itu.

Menurut Ketua Balai Bomba Dan Peyelamat Ketereh, Penolong Pegawai Bomba Mohd Rafain Mat Zin, pihaknya mengambil masa lebih 30 minit untuk menurunkan beruk berkenaan yang tersangkut ketika memetik kelapa.

Beruk berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan diserahkan kepada pemiliknya.