Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin Timbalan Penguasa Bomba I Mohd Suhaimi Abdul Jamal berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian terbabit pada 3.30 petang, sebelum 20 anggota dengan kekuatan dua bot JBPM dan satu bot awam, digegaskan ke lokasi kejadian.
"Turut diselamatkan dua warga emas termasuk seorang Orang Kurang Upaya (OKU).
"Bagaimanapun, kesemua mereka berjaya diselamatkan dan dihantar ke kawasan perumahan yang lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata anggota JBPM masih berada di lokasi bagi tujuan pemantauan.
Sementara itu, dalam kenyataan berlainan, JBPM memaklumkan terdapat lapan mangsa termasuk tiga warga emas dan tiga kanak-kanak terperangkap di dalam sebuah rumah di Kampung Parit Abas, Benut, Pontian dekat sini, susulan banjir kilat, petang tadi.
"Bagaimanapun, kesemua mangsa berjaya diselamatkan dan dihantar ke kawasan lebih tinggi, serta mereka telah menumpang di kediaman saudara terdekat," menurut kenyataan JBPM.
Setakat ni, tiada pusat pemindahan sementara dibuka.
Terdahulu, terdapat 25 lokasi di daerah Johor Bahru dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan selama dua jam sejak 12 tengah hari tadi.
-- BERNAMA