TUMPAT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan akan terus melakukan pemantauan di kawasan yang masih dinaiki air, meskipun banjir kian surut dan semakin ramai dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dari pusat pemindahan sementara (PPS).

Pengarahnya Zainal Madasin berkata ia bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin dan antara kampung terbabit termasuk Teluk Jering, Kubang Sawa dan Bendang Pak Yong di sini.

Beliau berkata ada penduduk yang tidak berpindah ke PPS dan ada yang pulang daripada pusat itu mendapati keadaan rumah mereka belum boleh didiami disebabkan air masih bertakung dan rumah berselut.

"Daripada pemantauan yang dilakukan kita menasihatkan penduduk agar lebih berhati-hati kerana keadaan air yang bertakung mengundang bahaya kepada orang ramai kerana dibimbangi terdapat objek tajam ataupun binatang berbisa.

"Selain itu, ibu bapa juga jangan membiarkan anak-anak kecil bermain di kawasan longkang kerana kita percaya di kawasan tersebut arusnya deras dan boleh menghanyutkan anak-anak kecil," katanya kepada pemberita selepas melakukan pemantauan di Kampung Teluk Jering, di sini hari ini.

Terdahulu Zainal bersama Pengerusi Yayasan Raja Shamri (YRS) Raja Shamri Raja Hussin menyampaikan sumbangan makanan kering dan barangan keperluan kepada 50 keluarga di Kampung Teluk Jering, Kubang Sawa dan Bendang Pak Yong yang masih ditenggelami air.

Perjalanan dari Kampung Teluk Jering ke kampung-kampung lain mengambil masa lebih 30 minit dengan menaiki bot kerana terdapat kawasan digenangi air antara satu hingga dua meter serta berarus deras.

Sementara itu, Raja Shamri berkata sumbangan itu bagi membantu penduduk yang kebanyakannya merupakan pesawah dan buruh yang bergaji hari.

Beliau berkata pendapatan penduduk di sekitar Tumpat terjejas kerana hampir sebulan mereka tidak dapat bekerja disebabkan banjir.

"Dengan sedikit sumbangan yang diberikan ini diharap dapat mengurangkan beban keluarga mereka yang ada sesetengahnya mengalami kerosakan harta benda.

"Kita akan teruskan program sumbangan ini ke kawasan lain yang turut terjejas dengan sokongan dan kolaborasi bersama agensi kerajaan yang lain," katanya yang sudah menyantuni lebih 2,000 mangsa banjir di seluruh Kelantan.

-- BERNAMA