Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang diberi tanggungjawab mengetuai operasi pembasmian kuman merupakan antara wira yang terlibat dalam mengekang penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata sehingga kini, sejumlah 6,066 operasi telah dilaksanakan oleh JBPM di seluruh negara meliputi sanitasi di tempat awam dan disinfeksi kawasan pusat kejadian.

"Operasi turut melibatkan pemindahan awam, pemeriksaan keselamatan kebakaran stesen kuarantin, pengurusan jenazah serta lain-lain tugas," katanya dalam perutusan sempena Hari Anggota Bomba Sedunia 2020 pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau berkata tugas yang digalas anggota bomba kini semakin mencabar dan mereka wajar diberikan penghargaan paling tinggi kerana sanggup meletakkan diri dalam pelbagai situasi bahaya demi menyelamatkan nyawa dan harta benda.

"Mereka (anggota bomba) sentiasa bersedia menabur bakti, tanpa mengira masa, kaum dan agama.

Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga JBPM atas segala khidmat bakti dan pengorbanan yang dicurahkan demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia," katanya.

Zuraida turut memaklumkan tepat 12 tengah hari tadi, sebanyak 316 balai bomba di seluruh negara akan membunyikan siren selama 30 saat, diikuti dengan bertafakur bagi mengingati anggota-anggota bomba yang terkorban dan tercedera ketika bertugas.

"Sambutan ini merupakan satu penghormatan yang amat besar serta bermakna kepada seluruh warga JBPM dan ia menjadi pendorong serta pembakar semangat kepada mereka untuk terus menabur bakti dan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat," katanya.

-- BERNAMA