Ketua Polis Daerah Papar Supt Kamaruddin Ambo Sakka berkata bahan letupan jenis Unexploded Ordnance (UXO) yang masih aktif itu dimusnahkan dengan tiga kali letupan secara berperingkat bermula 11.55 pagi hingga 1.25 tengah hari.
"Tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku sepanjang operasi kerja-kerja letupan dilakukan. Sebelum pemusnahan bom dijalankan, pihak polis memaklumkan kepada pelbagai agensi terlibat termasuk Jabatan Alam Sekitar.
"Selepas selesai kerja meletupkan bom, pasukan Ketua Polis Balai Kinarut bergerak mendapatkan maklumat dari kawasan sekitar untuk mengenal pasti sama ada pihak terkesan akibat letupan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata aktiviti itu juga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di bawah jawatankuasa perancangan operasi dan pengurusan risiko bencana letupan di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Pada 27 Feb lepas, sebutir bom lama sepanjang 120 sentimeter dengan berat 250 kilogram ditemukan oleh pekerja yang sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan pembinaan itu pada pukul 1.30 tengah hari sebelum bom itu dimusnahkan.
-- BERNAMA
