KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menambah enam entiti baharu dalam Senarai Amaran Pengguna Kewangan (FCA) iaitu Emar Markets, HF Markets and HF Markets (SV) Pty Ltd, AVAPartner and AVATrade, Just Markets, Etoro Investment dan I Investment 254.


Ringkasan AI
  • Bank Negara Malaysia (BNM) menambah enam entiti baharu ke dalam Senarai Amaran Pengguna Kewangan (FCA) iaitu Emar Markets, HF Markets and HF Markets (SV) Pty Ltd, AVAPartner and AVATrade, Just Markets, Etoro Investment, dan I Investment 254. BNM juga mengemas kini maklumat mengenai Najmuldin Exchanger, FBS Malaysia, dan MIDF Investment Scheme.
  • Senarai FCA adalah panduan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai entiti atau skim yang mungkin disalah anggap sebagai berlesen atau dikawal selia oleh BNM. Senarai ini dikemas kini berdasarkan maklumat daripada orang ramai dan penilaian BNM terhadap entiti yang dilaporkan.
  • Pengguna dinasihatkan untuk merujuk senarai FCA sebagai salah satu cara untuk menyemak status kebenaran entiti atau skim kewangan. Walaupun nama entiti dikeluarkan dari senarai, ini tidak bermakna ia telah diberi lesen atau dikawal selia oleh BNM. Pengguna disarankan untuk melakukan usaha wajar sebelum melabur dengan mana-mana entiti atau skim kewangan.


Menerusi hantaran di media sosial pada Isnin, BNM menjelaskan pihaknya juga mengemas kini maklumat berkenaan dengan Najmuldin Exchanger, FBS Malaysia, dan MIDF Investment Scheme dalam senarai itu.

"Senarai ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa," menurut BNM.

Sila klik http://bnm.gov.my/fca. untuk mendapatkan maklumat lanjut, tambah bank pusat.

Menurut laman web rasmi BNM, FCA merupakan panduan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai entiti atau skim yang telah disalah anggap atau kelihatan sebagai entiti atau skim berlesen atau dikawal selia oleh bank pusat,

"Senarai ini dikemas kini berdasarkan maklumat yang diterima oleh BNM daripada orang ramai dan selepas menjalankan penilaian yang sewajarnya ke atas entiti dan skim yang dilaporkan.

"Pengguna boleh merujuk FCA sebagai salah satu cara untuk menyemak sama ada sesebuah entiti atau skim itu telah dikenal pasti tidak mendapat kebenaran daripada BNM untuk menawarkan produk atau perkhidmatan kewangan yang dikawal selia oleh BNM," tegasnya.

Walau bagaimanapun, jika selepas itu nama entiti atau skim tersebut tiada atau dikeluarkan daripada senarai FCA tersebut, hal itu tidak seharusnya ditafsirkan sebagai pengesahan bahawa entiti atau skim berkenaan telah diberi lesen atau berada di bawah kawal selia BNM.

BNM menekankan bahawa sama seperti mana-mana pelaburan kewangan, pengguna dinasihati supaya melakukan usaha wajar apabila membuat pelaburan dengan mana-mana entiti atau skim kewangan.

-- BERNAMA