Barisan Nasional (BN) tidak boleh berdiam diri, sebaliknya perlu terus memberi penerangan sebenar berkenaan isu royalti minyak Kelantan bagi mengelakkan rakyat mendapat fakta yang salah mengenai perkara berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penjelasan sebenar perlu dilakukan sebagai jawapan balas terhadap pelbagai tohmahan dan fitnah yang dilemparkan PAS serta sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali dengan nama Royalti atau huruf "R".

"Dari sudut kerajaan BN, kita tidak boleh berdiam diri, bagaimana saya sebelum di penamaan calon bukan sahaja parti PAS...rakyat juga hendak penjelasan sebenar yang saya sebut sebelum ini.

"Kenyataan yang dibuat mereka tidak betul, kita cabar mereka untuk tunjukkan bukti dan dari segi pandangan kami...Kelantan sebenarnya tidak ada hak negeri, tetapi atas pertimbangan ihsan kita bagi.

"Jadi bagi saya yang penting rakyat dapat penjelasan yang betul dan bukannya hendak jadikan isu. Kalau kita tidak sebut, mereka akan sebut dan mainkan," katanya semsa sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama warga pendidik di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat di sini pada petang Jumaat.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, wajar bagi pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor membuat keputusan dan pertimbangan yang sewajarnya serta menolak sama sekali dakyah yang dibawa PAS dan NGO "R" berkenaan.

"Dia (PAS) tidak boleh nafikan NGO "R" ini membawa berita fitnah dan palsu. Jadi kalau ada isu (royalti) BN akan memberikan penjelasan," jelasnya.

Katanya lagi, jika perlu, nota penerangan bagi memperjelaskan isu royalti akan dibuat semula bagi membolehkan rakyat faham perkara yang sebenar.

Muhyiddin turut mengingatkan jentera kempen agar terus berusaha mendekati pengundi meminta mereka supaya menyokong calon BN, Mat Razi Mat Ail dan tidak bersikap terlalu yakin untuk menang.