KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan satu lagi platform musyawarah seperti Majlis Perundingan Negara bagi membincangkan dan menyokong penetapan semula sistem pasca 1969.

Pengerusi dan Pengasas Bersama Ikhlas Capital, Datuk Seri Mohamed Nazir Razak berkata, langkah itu penting selepas melihat skala masalah dihadapi negara hari ini dan kegagalan berterusan satu demi satu kerajaan dari pelbagai parti dalam membuat pembaharuan sistem.

Menurut Mohamed Nazir, projek membina Malaysia yang lebih baik adalah dengan memastikan tidak berlaku politik identiti, politik wang dan penumpuan kuasa.  
 
"Campur tangan luas kerajaan di dalam ekonomi di atas nama Dasar Ekonomi Baru ditambah pula dengan persaingan politik intra-Melayu yang semakin sengit pada pertengahan tahun 1980-an menimbulkan apa yang dipanggil 'raksasa berkepala tiga', politik identiti, politik wang, dan penumpuan kuasa. Raksasa tersebut memusnahkan idea yang paling inovatif serta inisiatif pembaharuan yang tulen.

"Contohnya, Koridor Raya Multimedia , sebuah fikiran Tun Dr Mahathir Mohamad yang sangat berpandangan jauh, namun gagal melepasi projek hartanah. Selain itu, model Ekonomi Baru diperkenalkan Datuk Seri Najib pula hanya mampu mengumpul habuk di atas rak," katanya semasa Ucaptama Sidang Kemuncak Sidang Kemuncak Bangsa Malaysia secara maya pada Sabtu. 

Sejarah katanya mengajar negara bahawa ketegangan komuniti amat mudah diapi-apikan apabila agama dicampuradukkan dengan isu-isu lain.

"Bagi sebuah negara di mana identiti orang Melayu telah sinonim dengan identiti orang Islam, agama secara tidak sengaja menjadi alat politik. Ini menyemarakkan lagi perpecahan yang terhasil antara orang Melayu dan bukan Melayu,"tambahnya. 

Justeru, setiap rakyat Malaysia bertanggungjawab mengelak menyalahgunakan agama dan sentiasa berfikiran wajar.   

"Islam kosmopolitan merupakan satu naratif teguh yang menyokong bangsa Malaysia. Bangsa Malaysia perlu berada di barisan hadapan Majlis Perundingan Negara baharu yang amat kita perlukan.

"Saya bimbang jika kita tidak menetapkan semula negara ini, kita akan terus dibelenggu dengan pertumbuhan ekonomi hambar, politik yang kelam-kabut dan masyarakat yang berpecah-belah,"ujarnya lagi.

Sehubungan itu katanya, keadaan negara kini menuntut setiap orang untuk mencapai ketetapan semula sistem.