ALOR SETAR: Bilangan mangsa banjir di Kedah bertambah petang ini dengan keseluruhan seramai 62 orang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Langkawi dan Kubang Pasu.

Jumlah itu meningkat daripada 43 orang iaitu 38 mangsa di Langkawi dan 19 di Kubang Pasu, yang direkodkan pada jam 8 pagi tadi.

Ketua Bahagian Sekretariat, Jawatankuasa Pengurusan Bencana, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, sehingga jam 5 petang, PPS Dewan Syifa, Langkawi, masih menempatkan 38 mangsa daripada 10 keluarga.

Katanya, bilangan mangsa bertambah di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun, Kubang Pasu, dengan seramai 24 mangsa daripada lima keluarga.

Katanya, PPS Dewan Syifa diaktifkan bermula jam 8 malam tadi sementara PPS SMK Changlun dibuka 3 pagi tadi.

“Setakat ini, mangsa di Langkawi masih 38 orang daripada 10 keluarga dan kesemua mangsa dari Kampung Limbung Putra, Kampung Buluh Penyumpit dan Kampung Atas.

“Mangsa di Changlun dari tiga kampung iaitu Kampung Nangmah, Kampung Paya Lantau dan Kampung Paya Nongmi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Suhaimi berkata, pemantauan terus dilakukan pihaknya berikutan trend air di beberapa sungai kini semakin meningkat.

Mengulas lanjut, katanya 18 kawasan di Langkawi dan tiga di Kubang Pasu terjejas dalam kejadian banjir kilat yang melanda Kedah bermula semalam sehingga hari ini.

Beliau berkata, antara lokasi terjejas di Langkawi adalah Kampung Teluk Yu, Kampung Sungai Itau, Kampung Kilim, Kampung Tua, Tanjung Rhu, Kampung Pasir Hitam, Kampung Telaga Ayer Hangat, Kampung Belanga Pecah.

Banjir di Kubang Pasu membabitkan Kampung Nangmah, Kampung Paya Lantau dan Kampung Nangmi.