Menteri Pertahanan Mohamad Sabu ketika mengulas perkara tersebut menegaskan beliau tidak tahu tentang hal itu, namun katanya perjuangan komunis sukar diterima untuk dimasukkan ke dalam buku teks sekolah.
"Kalau perjuangan rakyat untuk capai kemerdekaan itu soal lainlah. Sesetengah orang kalau dulu sebelum merdeka, perjuangan rakyat pun dicop sebagai perjuangan komunis.
"Tetapi, kalau perjuangan rakyat contohnya oleh Dr Burhanuddin al-Helmy, Ibrahim Yaacob, Pak Sako dan sebagainya, merekalah perjuangan rakyat.
"Saya tidak rasa mereka ini anuti perjuangan komunis. Itu yang kita kena bezakan antara perjuangan rakyat dan perjuangan komunis," katanya.
Semalam, aktivis Fadiah Nadwa Fikri menggesa kerajaan untuk menilai semula buku teks sejarah dan memasukkan fakta mengenai perjuangan kemerdekaan oleh golongan berhaluan kiri termasuk Parti Komunis Malaya (PKM).
Menurutnya, perjuangan puak berhaluan kiri tersebut merupakan fakta yang tidak dimasukkan dalam buku teks sedia ada.
Katanya, golongan kiri turut sama berjuang untuk kemerdekaan negara.
Bercakap dalam forum "Perlukah menulis semula buku sejarah?" Fadiah Nadwa berkata fakta tersebut perlu dimasukkan ke dalam buku teks sejarah bagi memberikan kefahaman kepada pelajar dan masyarakat mengenai Malaysia sebagai sebuah negara.