Sempena Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2020, semua pihak diseru untuk menyokong anggota kesihatan dan bersuara demi keselamatan anggota kesihatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan petugas kesihatan perlu sihat dari segi fizikal dan mental untuk memastikan keselamatan pesakit terjaga terutamanya dalam krisis seperti COVID-19.

“Semua pihak harus bersuara jika terdapat anggota kesihatan yang memerlukan pertolongan atau panduan, yang dibuli, didera atau dilayan secara tidak adil, yang terdedah kepada bahaya di tempat kerja dan yang bekerja dengan cara tidak selamat serta boleh membayakan orang lain,” kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba ketika melancarkan program tersebut.

Petugas kesihatan banyak berkorban demi memastikan pesakit-pesakit dirawat dengan sempurna

Ujarnya, antara objektif utama Hari Keselamatan Pesakit Sedunia pada tahun ini adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan keselamatan anggota kesihatan yang berkait rapat dengan keselamatan pesakit.

Sejajar dengan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melancarkan Putrajaya In Orange yang menyaksikan bangunan dan jambatan di Putrajaya diterangi dengan cahaya lampu pelbagai tona jingga.

Ia merupakan usahama pihak kementerian Kesihatan dengan Perbadanan Putrajaya yang melibatkan bangunan kerajaan, komersial dan jambatan terpilih dengan menggunakan teknologi pencahayaan sedia ada yang efisien tenaga," ujarnya lagi.

Putrajaya In Orange merupakan acara kemuncak kepada kempen Hari Keselamatan Sedunia dan simbol solidariti serta komitmen terhadap keselamatan pesakit.

Ia juga sebagai tanda penghargaan kepada semua anggota kesihatan atas jasa dalam memastikan keselamatan pesakit khususnya semasa COVID-19.

Putrajaya In Orange berlangsung selama empat hari bermula Khamis malam sehingga Ahad.
Antara premis yang menggunakan pencahayaan jingga termasuk Pejabat Perdana Menteri dan Jambatan Seri Warisan.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) disinari cahaya LED jingga sebagai solidariti sempena sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2020


Jambatan Warisan juga turut serta menyertai kempen sempena sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2020